Mangsa yang diselamatkan APMM Daerah Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Mangsa yang diselamatkan APMM Daerah Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli

hmkk@hmetro com.my

Kota Kinabalu: Lima kru bot termasuk seorang wanita cemas selepas bot katamaran dinaiki mereka hanyut selama lapan jam akibat kerosakan enjin sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kota Kinabalu di 11 batu nautika barat daya Pulau Sulug, dekat sini, semalam.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, dalam kejadian jam 7.10 malam itu, semua mangsa berusia antara 24 hingga 58 tahun diselamatkan Kapal Maritim (KM) Memmon sebelum dibawa ke jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), jam 10 malam.

Beliau berkata, bot katamaran itu turut membawa sembilan pemancing tempatan yang dalam perjalanan pulang ke jeti Sutera Harbour dari perairan Pulau Sulug.

"Semua pemancing itu terdahulu diselamatkan dua bot Sutera Harbour, jam 3 petang, selepas bot itu dilaporkan mengalami kerosakan enjin.

"Bagaimanapun, lima kru bot termasuk seorang wanita tidak ikut kerana mahu membaiki kerosakan namun gagal.

"Kita dimaklumkan mengenai perkara itu pada jam 4 petang, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan untuk membawa semua mangsa di perairan Pulau Sulug, " katanya, dalam sidang media, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:54 AM