NELAYAN dan bot yang diselamatkan APMM. FOTO ihsan APMM
NELAYAN dan bot yang diselamatkan APMM. FOTO ihsan APMM
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Tiga nelayan berusia 34 hingga 44 tahun terselamat selepas bot yang mereka naiki mengalami masalah enjin dan hanyut lebih lima jam di 6.3 batu nautika Barat Laut Tanjung Pucat Muka Head jam 6.30 petang semalam.

Pengarah APMM Daerah 2 Pulau Pinang Laksamana Pertama Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 tengah hari dari nelayan berkenaan dan memaklumkan masalah dihadapi.

Beliau berkata, bot jenis gentian kaca (fiber glass) dipercayai mengalami masalah enjin sehingga hanyut sebelum berjaya diselamatkan kapal peronda milik APMM.

Katanya, operasi menyelamat pada awalnya mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan laut bergelora namun bot nelayan berkenaan berjaya ditunda ke persisir pantai perairan Sungai Tembus.

"Bot nelayan berkenaan kemudian diserahkan kepada bot nelayan lain yang sedang menunggu untuk dibawa ke jeti," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 1:36 PM