ABDUL Hanif (kiri) melawat Hakimi sambil diperhatikan Norma (kanan), semalam.
ABDUL Hanif (kiri) melawat Hakimi sambil diperhatikan Norma (kanan), semalam.
Betty Subaryati


Kota Bharu: Ibu kepada dua daripada empat anak yang menderita penyakit barah dan saraf sejak beberapa tahun lalu tidak dapat menahan sebak sehingga menangis di hadapan beberapa pegawai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) sebaik menerima sumbangan bernilai RM10,000 semalam.

Norma Mahmud, 58, berkata, dia bersyukur dengan bantuan itu yang akan digunakan sepenuhnya untuk merawat dirinya serta dua anaknya, Mohd Azam Hidayat, 25, dan Mohd Hakimi, 22, yang menghidap barah saraf dan otak sejak kecil lagi yang kini terlantar di atas katil.

Katanya, dirinya sendiri turut menghidap barah saraf sehingga keseluruhan badannya ditumbuhi kutil sebesar guli, selain ketumbuhan lebih besar di belakang badannya.

“Saya tetap sabar dan sentiasa membawa Mohd Hakimi ke hospital untuk berubat dengan pengawasan pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak umurnya lima tahun lagi. Saya juga ditumbuhi benjolan dan ketumbuhan yang semakin membesar di belakang badan.

“Alhamdulillah dengan sumbangan ini, ia dapat meringankan beban kami sekeluarga untuk meneruskan rawatan,” katanya selepas menerima lawatan pegawai BPMB diketuai Naib Presiden yang juga Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat, Abdul Hanif Abu Bakar, di rumahnya di Kampung Tanjung Chat, di sini, semalam.

Harian Metro pada 14 September 2015 melaporkan, keluarga terbabit yang menghidap penyakit barah dan terpaksa bertarung nyawa melawan penyakit kronik itu selain tidak mampu membuat rawatan susulan akibat masalah kemiskinan.

Norma yang hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu terpaksa menjaga Mohd Azam dan Mohd Hakimi yang disahkan menghidap barah saraf dan memerlukan rawatan intensif di HUSM.

Anak sulungnya, Mohd Khairul Izudin, 27, juga dikesan menghidap penyakit kulit tetapi tidak serius, bekerja sebagai buruh di kilang pengedaran beras di Jeli, sekali gus menggalas tanggungjawab menjaga ibu dan dua adiknya itu.

Sementara itu, Abdul Hanif berkata, BPMB terpanggil membantu meringankan beban keluarga terbabit yang hidup dalam kesusahan ketika menghidap pelbagai penyakit kronik.

Beliau berkata, bantuan kewangan adalah zakat perniagaan yang diagihkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara.

“Kami mendapat tahu berhubung penderitaan keluarga Norma selepas membaca laporan yang disiarkan akhbar Harian Metro keluaran September tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 9:29 AM