MUHAMMAD Akif Khan Abd Rahim menghidap barah saraf (neuroblastoma) tahap empat.
MUHAMMAD Akif Khan Abd Rahim menghidap barah saraf (neuroblastoma) tahap empat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Setiap hari, kira-kira lima kanak-kanak di Malaysia didiagnos menghidap pelbagai penyakit barah.

Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M Murallitharan berkata, ia perkara yang membimbangkan kerana bilangan itu dijangka akan meningkat pada masa hadapan.

"Berdasarkan laporan Synopsis of Child Cancer Incidence in Malaysia pada 2007 hingga 2011 dalam sehari, purata kanak-kanak di Malaysia yang didiagnos menghidap barah ialah tiga orang.

"Laporan ini sudah 10 tahun dan data terkini belum dikeluarkan. Namun, statistik (lima kanak-kanak) itu berdasarkan unjuran di peringkat global, seiring dengan pertambahan bilangan penduduk di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak yang menghidap barah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu berusia daripada sifar hingga 14 tahun dan 15 hingga 19 tahun.

"Penyakit barah tertinggi dihidapi kanak berusia daripada sifar hingga 14 tahun ialah barah darah (leukemia) diikuti barah otak dan sistem saraf, limfoma, tulang, mata, tisu perantara dan tisu lembut, ovari, buah pinggang, testis serta hati.

"Manakala kategori kanak-kanak berusia 15 hingga 19 tahun pula, penyakit barah paling tinggi dihidapi mereka adalah barah darah (leukemia), diikuti limfoma, tulang, otak dan sistem saraf, ovari, nasofarinks, tiroid, tisu perantara dan tisu lembut, testis serta kulit," katanya.

Dr Murallitharan berkata, peningkatan pesakit barah yang ketara adalah kumpulan berusia di antara 15 hingga 19 tahun.

Katanya, ini kerana mereka sudah terdedah dengan faktor risiko pencetus barah bermula daripada awal usia iaitu sejak kecil.

DR Murallitharan. FOTO Arkib NSTP
DR Murallitharan. FOTO Arkib NSTP

"Satu daripadanya ialah masalah obesiti dan apabila menjangkau usia belasan tahun, mereka mula menunjukkan ciri-ciri menghidap penyakit barah.

"Faktor kedua ialah corak pemakanan tidak sihat yang lebih gemar mengambil makanan segera dan diproses. Seterusnya pendedahan kepada banyak unsur kimia sejak kecil terutama asap rokok daripada orang dewasa di sekeliling mereka.

"Apabila meningkat remaja, muka menampakkan ciri-ciri ketumbuhan tidak normal dan sebagainya," katanya.

Ditanya peranan NCSM, Dr Murallitharan berkata, tugas paling besar persatuan ini ialah memberi bantuan kewangan dan psiko sosial seperti tempat tinggal, pengangkutan dan sebagainya kepada pesakit barah di seluruh Malaysia.

"Kita ada menubuhkan rumah barah yang menempatkan pesakit sedang menjalani rawatan di hospital di ibu negara.

"Bagi pesakit yang menjalani rawatan tetapi keadaannya tidak serius, mereka tidak dimasukkan ke dalam wad. Oleh itu, mereka akan menetap di rumah ini sepanjang proses rawatan.

"Mereka tinggal di rumah ini secara percuma kerana persatuan mahu membantu meringankan beban ibu bapa pesakit yang kebanyakannya daripada keluarga B40," katanya.

Selain itu katanya, NCSM turut menghantar pegawai perubatan dan kaunselor ke beberapa negeri untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 12:00 PM