KESAKITAN kronik boleh mengganggu emosi. - FOTO Google
KESAKITAN kronik boleh mengganggu emosi. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


DIANGGARKAN 15 hingga 20 peratus atau enam juta penduduk di Malaysia mengalami kesakitan kronik.

Malah mereka juga hidup dalam kesakitan puluhan tahun lamanya kerana menyangka kesakitan ini sebahagian daripada lumrah hidup disebabkan faktor usia.

Tanggapan ini salah kerana sebenarnya kesakitan kronik boleh dirawat bagi mengurangkan tahap kesakitan dialami pesakit.

Ketua Pusat Kesakitan Kronik dan Barah Termaju Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Toh Charng Jeng berkata, dipercayai bilangan pesakit itu jauh lebih tinggi daripada jumlah sebenar kerana masih ramai rakyat Malaysia tidak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, mereka hanya pergi ke hospital apabila sudah tidak mampu menanggung penderitaan kesakitan.

"Ramai pesakit tidak mengetahui kesakitan ini boleh dirawat, rawatan itu bukan sahaja boleh mengurangkan kesakitan ditanggung, malah boleh menyembuhkan sebilangan pesakit.

"Kesakitan kronik ialah kesakitan yang berlanjutan melebihi tiga bulan selepas pesakit mengalami kecederaan kerana jangka masa ini dianggap segala proses penyembuhan sudah selesai.

"Ia berpunca daripada kecederaan saraf dan keradangan berpanjangan seperti kesakitan lutut dalam kalangan warga emas," katanya.

Beliau berkata, kesakitan kronik boleh berlaku pada semua bahagian badan, daripada kepala hingga kaki.

"Bagi kesakitan kronik di kepala, ia boleh berpunca daripada masalah tulang belakang leher kerana aktiviti harian yang kebanyakannya menunduk kepala.

"Ada sejenis kesakitan muka yang teramat kuat dan menyeksa iaitu 'trigeminal neuralgia'. Pesakit yang mengalami penyakit ini tidak boleh bercakap, makan, memberus gigi dan membasuh muka.

"Bahkan ada kalanya tiupan angin yang terkena pada wajah juga boleh mencetuskan kesakitan," katanya.

Katanya, beliau pernah merawat pesakit yang menderita lebih 20 tahun dan menganggap penyakit ini tiada rawatan.

"Sebenarnya penyakit ini boleh dirawat dan kebanyakan pesakit boleh disembuhkan hingga tiada lagi kesakitan.

"Penyakit ini berpunca daripada saraf trigeminal di bahagian dalam otak yang mungkin ditekan oleh salur darah atau ketumbuhan. Akibatnya kesakitan dirasai di bahagian muka.

"Ada juga pesakit yang mencabut semua giginya kerana menyangka ia berpunca daripada kerosakan gigi, sedangkan itu bukan penyebabnya," katanya.

Menurutnya, pesakit dinasihati berjumpa doktor supaya punca kesakitan boleh dipastikan sebelum menjalani rawatan.

"Posisi duduk tidak betul dengan keadaan kepala ke hadapan menyebabkan kesakitan leher yang kronik.

"Ada kalanya, keuzuran tulang belakang leher menyebabkan saraf leher tertekan seterusnya kesakitan terasa di tangan dan jari.

"Kesakitan belakang pinggang boleh disebabkan tulang belakang yang uzur, menyebabkan saraf tertekan dan mengakibatkan kesakitan terasa di kaki.

"Sekiranya tidak dirawat di peringkat awal, ia boleh menyebabkan kaki lumpuh," katanya.

Jelasnya, rawatannya tidak semestinya memerlukan pembedahan besar, tetapi boleh dirawat dengan cara intervensi seperti 'nucleoplasty' atau cara endoskop dengan bukaan luka yang kecil iaitu lebih kurang satu sentimeter.

Beliau berkata, kebiasaannya penyakit ini dialami warga emas, tetapi kini mula dihidapi golongan muda berpunca daripada posisi duduk atau kerja yang tidak betul dan menyebabkan tulang belakang menjadi uzur sebelum usia.

"Saya pernah jumpa pesakit berusia 20-an dan 30-an yang sudah mengalami sakit belakang dan leher," katanya.

Dr Toh berkata, selain itu, Sindrom Kesakitan Serantau yang Kompleks (CRPS) antara jenis kesakitan kronik yang biasa berlaku di kaki atau tangan selepas kecederaan.

"Sindrom ini ialah kecederaan sedikit pada bahagian kaki dan tangan yang mana ia menyebabkan kaki menjadi bengkak, kemerahan serta ada kalanya panas.

"Jika dirawat awal, ia berpotensi sembuh dan boleh menjadi lebih teruk sekiranya lewat mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, setiap individu berhak menikmati kehidupan lebih bermakna iaitu sihat, gembira dan tidak dibelenggu kesakitan.

"Sebab itu amat penting merawat kesakitan kronik walaupun ramai pesakit sedang menahan kesakitan tanpa berkongsi kesakitan itu dengan sesiapa termasuk keluarga.

"Kesakitan kronik yang ditanggung pesakit boleh menjejaskan kualiti kehidupan termasuk tidur, perhubungan dengan keluarga, rakan-rakan dan tumpuan terhadap kerjaya turut terganggu," katanya.

SAKIT leher salah satu kesakitan kronik. - FOTO Google
SAKIT leher salah satu kesakitan kronik. - FOTO Google

Dr Toh berkata, sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal, maka lebih mudah mengurangkan kesakitan yang ditanggung.

Katanya, pengurusan kesakitan kronik adalah menggunakan pendekatan biopsikososial yang terbahagi kepada tiga bahagian.

"Pertama ialah bio iaitu biomedikal yang bermula dengan pemberian ubat, melakukan intervensi sehingga pembedahan.

"Manakala psiko pula adalah psikologi kerana kesakitan kronik ini berkaitan dengan emosi.

"Emosi terganggu akan menyebabkan kesakitan kronik menjadi lebih teruk yang akhirnya menjejaskan emosi pesakit.

"Kesan emosi ini tidak dirasai pesakit sahaja, malah ahli keluarga juga terkesan kerana orang tersayang sering mengadu kesakitan," katanya.

Jelasnya, terakhir ialah sosial yang mana sokongan ahli keluarga penting bagi mengurangkan bebanan kesakitan dialami pesakit.

Menyentuh rawatan intervensi, beliau berkata, rawatan itu menggunakan jarum dan ada kalanya dengan bantuan sinaran-X atau 'ultrasound' yang menyasarkan di tempat yang sakit.

"Kita juga menggunakan beberapa teknologi untuk mengurangkan kesakitan seperti radiofrekuensi atau 'Cryotherapy' menggunakan suhu yang sangat rendah iaitu bioterapi atau selainnya, memasukkan ubat bagi mengurangkan keradangan.

"Bagi rawatan intervensi, kesakitan kronik boleh berkurangan sehingga 80 peratus atau lebih. Bagaimanapun, pilihan rawatan yang teliti dan

sesuai untuk pesakit adalah punca kejayaan rawatan," katanya.

Kata Dr Toh, penyakit ini agak unik kerana ia tidak dapat dikesan menggunakan teknologi pengimejan.

Oleh itu, pemeriksaan klinikal sangat penting untuk mengenal pasti punca kesakitan.

"Kebanyakan pesakit yang berjumpa doktor akan diberikan ubat-ubatan dan sekiranya kesakitan masih tidak berkurangan, rawatan seterusnya seperti intervensi atau pembedahan 'invasive minimal' boleh membantunya," katanya.

Menurut beliau, kanak-kanak jarang mengalami kesakitan kronik melainkan mereka menghidap barah.

"Lebih 50 peratus pesakit barah mengalami kesakitan berpunca daripada penyakit berkenaan," katanya.

Selain itu, katanya, ramai salah faham antara kesakitan kronik dengan penyakit kronik dan menganggap ia perkara sama.

"Sebenarnya ia adalah dua keadaan dan penyakit berbeza yang mana penyakit kronik adalah seperti darah tinggi, kencing manis serta buah pinggang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 7:00 AM