MARYAM Nur Jannah kini dirawat di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan selepas disahkan menghidap barah Neuroblastoma (barah berkaitan saraf). FOTO ihsan Muhammad Jazmi Mat Jusoh.
MARYAM Nur Jannah kini dirawat di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan selepas disahkan menghidap barah Neuroblastoma (barah berkaitan saraf). FOTO ihsan Muhammad Jazmi Mat Jusoh.
Redzuan Muharam


KEGEMBIRAAN suami isteri, Muhammad Jazmi Mat Jusoh dan Nur Ezatu Syahiera Mat Adam menyambut kelahiran anak sulung, Maryam Nur Jannah bertukar hiba apabila bayi mereka disahkan menghidap barah Neuroblastoma (barah berkaitan saraf).

Muhammad Jazmi, 26, berkata, penyakit itu dikesan ketika anaknya berusia 39 hari selepas menjalani pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan ultrasound di Hospital Serdang, Selangor.

Menurutnya, Maryam yang kini berusia 52 hari ditempatkan di wad pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan sementara menanti tarikh untuk menjalani kemoterapi seperti disyorkan doktor.

“Keadaannya normal ketika dilahirkan tetapi perutnya yang semakin membesar seolah-olah mengalami masalah kembung perut.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya dan isteri membawa Maryam) ke klinik berhampiran pada hari ke-37, tetapi doktor meminta kami ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan susulan.

“Hasil pemeriksaan mendapati Maryam positif barah kerana terdapat ketumbuhan menyebabkan hatinya membengkak sebesar sembilan sentimeter (cm), namun doktor tidak dapat mengenalpasti punca sebenar penyakit berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Jazmi bersama isteri dan Maryam. FOTO ihsan Muhammad Jazmi Mat Jusoh.
MUHAMMAD Jazmi bersama isteri dan Maryam. FOTO ihsan Muhammad Jazmi Mat Jusoh.

Muhammad Jazmi berkata, selepas empat hari mendapat rawatan di Hospital Serdang, dia dan isteri mengambil keputusan membawa Maryam ke Kelantan untuk mendapatkan rawatan di HUSM yang terletak tidak jauh dari kampung halaman mereka.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan ahli keluarga kedua-dua pihak melawat dan melihat keadaan Maryam dengan lebih dekat.

“Saya menetap di Kajang, Selangor tetapi tiada keluarga terdekat di sini dan selepas berbincang dengan isteri, kami sepakat membawa Maryam pulang ke Kelantan untuk mendapatkan rawatan di HUSM.

“Buat masa ini, Maryam boleh minum susu seperti biasa tetapi perlu bergantung kepada antibiotik.

“Doktor tidak mengesyorkan pembedahan kerana Maryam masih kecil, sebaliknya mencadangkan rawatan kemoterapi bagi melihat tindak balas terhadap badannya,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada tarikh bila rawatan itu akan dijalankan kerana HUSM masih menunggu keputusan ujian terperinci daripada pakar di Hospital Serdang.

Menurutnya, doktor tidak memberitahu risiko atau kemungkinan berlaku akibat kemoterapi mungkin kerana enggan dia dan isterinya bersedih.

Katanya, buat sementara waktu, isteri dan ahli keluarga di Kelantan bergilir-gilir menjaga Maryam manakala dia perlu pulang ke ibu kota untuk meneruskan tugas.

“Saya tidak dapat mengambil cuti lama dan terpaksa pulang ke Kajang, hari ini untuk bekerja sebelum pulang semula ke Kelantan semula pada hujung minggu.

“Diharap, segalanya dipermudahkan dan bersyukur kerana ramai warganet mendoakan Maryam sejak saya dan isteri berkongsi kisahnya di Twitter, baru-baru ini.

“Lebih mengharukan saya adalah apabila ada individu menghantar kiriman mesej (DM) untuk meminta nama penuh Maryam kerana mahu mendoakannya di Tanah Suci.

“Terima kasih kepada semua dan saya benar-benar berharap Maryam kembali sembuh dan boleh meneruskan hidup seperti bayi lain kerana masih teruja dengan kelahirannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 9:17 PM