MUHAMMAD Alif  (kiri) bermain bersama rakan-rakan di sekitar perumahannya.
MUHAMMAD Alif (kiri) bermain bersama rakan-rakan di sekitar perumahannya.
Norashikin Leman


Klang: Ibu kata anak menjadi mangsa buli manakala polis menafikan semalam. Itu yang berlaku apabila murid, Muhammad Alif Shukran Alias, lapan tahun, didakwa mencederakan diri sendiri hasil siasatan dilakukan polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, mangsa murid tahun dua sekolah di Klang itu tidak dipaksa menggunting lidahnya sendiri oleh sekumpulan pelajar senior minggu lalu.

Sebaliknya menurutnya murid itu cedera di bahagian lidah ketika bermain dengan gunting milik rakan sekelas berdasarkan siasatan dijalankan sejak 25 Mac lalu.

“Berdasarkan laporan dibuat guru sekolah berkenaan juga mendapati tiada keterangan sokongan yang boleh mengaitkan pelajar lain dalam kes berkenaan.

“Ketika kejadian mangsa berada dalam kelasnya bersama 34 pelajar lain sebelum dia dikatakan menangis dan ditemui dalam keadaan berdarah di tempat duduknya.

“Pemeriksaan awal guru berkenaan mendapati murid terbabit mengalami luka di bahagian lidah ketika bermain dengan gunting dibawa salah seorang rakan kelasnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Koperal ke Sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Abdul Samah berkata, timbalan pendakwa raya juga turut berpuas hati dengan laporan hasil siasatan yang diberikan Rabu lalu dan keputusan berkenaan akan dimaklumkan kepada pihak sekolah serta keluarga murid berkenaan.

Bagaimanapun keputusan siasatan polis itu tidak dipersetujui ibu kanak-kanak itu, Siti Nur Huda Ibrahim, 29, yang menyifatkan kejadian itu tidak munasabah.

Dia memberitahu mahu melihat laporan siasatan polis selain mahu kertas siasatan dibuka semula untuk mencari lima pelajar yang didakwa memaksa anaknya menggunting lidahnya ketika berada di dalam tandas sekolah.

Malah, dia percaya anaknya itu dibuli dan dipaksa menggunting hujung lidahnya oleh sekumpulan murid seperti dakwaannya.

“Kes ini tidak boleh ditutup begitu saja dengan alasan tiada keterangan boleh menyokong aduan anak saya. Saya tidak akan berputus asa. Saya mahu murid menganiaya anak saya dicari dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jika benar perkara itu terjadi (gunting lidah) atas kecuaian anak saya ketika berada di dalam kelas, mengapa pihak sekolah tidak mahu bertanggungjawab memandangkan gunting berkenaan dikatakan dibawa rakan sekelasnya,” katanya.

Siti Nur Huda berkata, dia bukan mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak cuma mahu mendapatkan keadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 9:20 AM