KERETA yang dipandu seorang lelaki yang melarikan diri ketika ditahan di Jalan Ling Kai Cheng,Sibu, berjaya ditahan pihak polis malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
KERETA yang dipandu seorang lelaki yang melarikan diri ketika ditahan di Jalan Ling Kai Cheng,Sibu, berjaya ditahan pihak polis malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Sibu: Polis bertindak mengejar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang melarikan diri ketika ditahan di Jalan Ling Kai Cheng, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.25 malam itu, pasukan Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu yang melakukan rondaan terserempak sebuah kereta Perodua Bezza warna putih dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, polis cuba menahan kereta berkenaan, namun suspek berusia 33 tahun memecut laju kenderaan cuba melarikan diri menuju ke Kampung Bahagia Jaya Teku.

"Pasukan MPV meminta bantuan tiga unit MPV lain dan dua unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk membantu mengejar suspek.

"Sepanjang tempoh 45 minit kejar mengejar, suspek memandu kereta melawan arus jalan dari Kampung Bahagia Jaya Teku menuju ke Jalan Pahlawan dan berjaya ditahan di Lorong 4 Sentosa Salim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketika ditahan suspek dalam keadaan agresif serta melawan sehingga kekerasan minima digunakan untuk menangkapnya.

"Suspek digari dan dibawa ke Balai Polis Sungai Merah untuk tindakan lanjut dan ditahan reman mulai hari ini.

"Malah, berdasarkan semakan rekod lampau suspek juga mempunyai 39 kes curi dan kesalahan dadah," katanya.

Stanley berkata, suspek yang turut ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga dikompaun RM 4,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 4:11 PM