Penguat kuasa DBKL menyita kenderaan buruk yang terbiar sempena operasi khas DBKL di Bandar Tun Razak.
Penguat kuasa DBKL menyita kenderaan buruk yang terbiar sempena operasi khas DBKL di Bandar Tun Razak.
Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaktifkan aplikasi WhatsApp bagi membolehkan orang ramai melaporkan aduan berhubung kenderaan buruk.

Pengarah Eksekutif Sosio-Ekonomi DBKL Datuk Mohd Sauffi Muhamad berkata, orang ramai boleh membuat aduan kenderaan buruk dengan menggunapakai aplikasi WhatsApp Jabatan Penguatkuasaan DBKL di talian 019-2120031.

“Mereka hanya perlu menyatakan tarikh, masa dan lokasi kenderaan buruk itu saja

“Melalui pengaktifan talian, kita dapat mengesan lebih banyak kereta buruk untuk dilupuskan,” katanya pada sidang media kenderaan buruk di Jabatan Penguatkusaan DBKL, di sini, semalam.

Menurut beliau, sehingga Februari lalu, 288 kenderaan buruk yang ditinggalkan pemilik diambil tindakan oleh DBKL.

Katanya, kenderaan buruk itu dikenal pasti ditinggalkan di kawasan perumahan dan juga perniagaan sekitar Kuala Lumpur yang menjejaskan imej persekitaran di situ.

“Beberapa masalah timbul di kawasan terbabit yang menyebabkan ketidakselesaan orang awam antara menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes, binatang liar yang menyumbang kepada masalah kesihatan,” katnya.

Beliau berkata, tindakan membiarkan kenderaan tanpa dialihkan turut menyebabkan aliran pergerakan kenderaan di kawasan perumahan serta perniagaan terjejas dan mengganggu lalu lintas.

Katanya, DBKL akan mengikut beberapa proses untuk diambil tindakan melalui Seksyen 46, Akta Halangan 1974 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami akan mengeluarkan notis pengalihan untuk tempoh tiga hari bagi kenderaan buruk dan satu hari bagi kenderaan yang tinggal rangka. Proses tuntutan pula akan diberi selama sebulan untuk pemilik membuat tuntutan kenderaan buruk mereka.

“Namun, jika tidak mempunyai maklum balas berkenaan notis itu dalam tempoh yang diberikan, kenderaan akan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan di Salak Selatan untuk dilupuskan,” katanya.

Beliau berkata, pemilik yang mahu membuat tuntutan akan dikenakan caj memindahkan kenderaan buruk RM100, manakala bayaran untuk simpanan kenderaan itu dicaj RM10 untuk satu hari.

“Jika pemilik kenderaan itu dengan sukarela mahu melupuskan kenderaannya, maka tiada caj akan dikenakan, tetapi mereka perlu datang ke Jabatan Penguatkuasaan DBKL untuk membuat beberapa proses,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:50 AM