Pemilik perlu jelaskan denda RM50 dalam tempoh empat jam selepas tayar kenderaan dikunci sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100.
Pemilik perlu jelaskan denda RM50 dalam tempoh empat jam selepas tayar kenderaan dikunci sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan mengunci tayar kenderaan yang diletak sesuka hati sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas bermula 1 September.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan.

Kawasan terbabit, termasuk Jalan Masjid India, Jalan Tun Sambanthan (Brickfield), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Bulan, Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Chow Kit, Jalan Kenanga, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Solaris Mont Kiara dan Jalan Klang Lama.

"Pelaksanaan ini dilakukan berdasarkan kajian Pemudah (Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan) DBKL yang mendapati sikap pengguna meletak kenderaan secara tidak bertanggungjawab menjadi antara punca utama kesesakan lalu lintas.

"Antara Januari hingga Julai tahun ini, 746,185 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan kenderaan menghalang lalu lintas, 232,726 kenderaan tidak membayar caj parkir dan 4,857 kenderaan ditunda kerana kesalahan parkir, jadi tindakan lebih tegas perlu diambil," katanya di sini, hari ini.

Mhd Amin berkata, pemilik kenderaan perlu hadir menjelaskan bayaran denda RM50 dalam tempoh empat jam tayar kenderaan dikunci bagi tuntutan semula sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100 dikenakan.

Pelaksanaan undang-undang itu mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 7:42 PM