BAKAR  (kanan) tiba untuk menghadiri mesyuarat Exco, semalam.
BAKAR (kanan) tiba untuk menghadiri mesyuarat Exco, semalam.

Alor Setar: Mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam berjalan seperti biasa walaupun tiga Exco daripada UMNO hadir sekali gus membuktikan masih menyokong pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kenderaan membawa mereka dilihat memasuki Wisma Darulaman di sini, sebelum mesyuarat bermula jam 12 tengah hari yang dipengerusikan Mukhriz.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Wanita negeri Datuk Suraya Yaacob dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Maklumat Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri Datuk Aminuddin Omar juga hadir.

Dengan kehadiran empat Exco termasuk menteri besar bermaksud mesyuarat berlangsung semalam adalah sah kerana cukup syarat korum ditetapkan.

Individu pertama dilihat tiba di perkarangan Wisma Darulaman ialah Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra pada jam 10.15 pagi menaiki kenderaan rasmi.

Bagaimanapun, menurut sumber, dua lagi Exco membabitkan Suraya dan Norsabrina dipercayai menaiki kenderaan persendirian sekitar jam 10.30 pagi hingga 2 petang manakala Mukhriz dilihat tiba menaiki kenderaan rasminya pada jam 11.40 pagi.

Turut hadir mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din bersama seorang lagi pegawai kanan kerajaan negeri yang tidak dikenal pasti.

Terdahulu, kenderaan membawa Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tiba di Wisma Darulaman jam 10 pagi bagi menghadiri mesyuarat.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Mohd Fisol Jaafar ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, enggan mengulas lanjut atas arahan daripada pihak atasan.

“Mesyuarat Exco hari ini (semalam) berjalan seperti biasa, namun saya tidak boleh dedahkan jumlah kehadiran ahli atau siapa Exco yang datang,” katanya.

Pada masa sama, lebih 20 pengamal media termasuk jurugambar berkumpul di bangunan berkenaan untuk membuat liputan, namun tidak dibenarkan masuk dan terpaksa menunggu di pintu masuk utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 8:53 AM