KENDERAAN dinaiki Adenan  dilihat keluar dari Bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Perdana Menteri.
KENDERAAN dinaiki Adenan dilihat keluar dari Bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Perdana Menteri.

Putrajaya: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.

Beliau dilihat memasuki bangunan berkenaan pada jam 4 petang, diiringi beberapa kenderaan lain sebelum keluar pada jam 5.50 petang.

Difahamkan, pertemuan itu bagi membincangkan perkara berhubung penurunan kuasa kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang ulasan mengenai pertemuan itu.

Sebelum ini, Adenan dilaporkan berkata akan berjumpa Perdana Menteri hari ini bagi menyelesaikan perkara berkaitan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak.

Adenan dipetik berkata, Sarawak mahu dikembalikan kuasa pentadbiran yang pernah dimilikinya dan diambil Kerajaan Pusat memandangkan ia penting bagi pembangunan negeri itu khasnya kepada penduduk di luar bandar.

Menurut laporan itu, dalam perjumpaan itu, beliau akan membangkitkan lagi mengenai peningkatan royalti minyak kepada Sarawak memandangkan kadar lima peratus sekarang terlalu kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 7:00 AM