AHLI BN bersorak ketika menyambut ucapan Najib di Stadium Perpaduan, semalam.
AHLI BN bersorak ketika menyambut ucapan Najib di Stadium Perpaduan, semalam.
NAJIB dan Adenan mengangkat tangan sebagai simbolik bersatu.
NAJIB dan Adenan mengangkat tangan sebagai simbolik bersatu.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Petra Jaya: Kerajaan Pusat sedia menimbangkan cadangan penambahbaikan kuasa autonomi yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri terutama membabitkan aspek pentadbiran beberapa jabatan dan agensi Persekutuan di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, proses rundingan itu sedang berlangsung termasuk mengenal pasti kaedah menurunkan kuasa itu kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, kuasa diperturunkan kepada Jabatan Kerajaan Negeri dan tidak perlu menunggu keputusan dari Putrajaya.

“Selama ini, ada beberapa agensi kerajaan terpaksa menunggu keputusan daripada Putrajaya untuk sebarang pelaksanaan kerja dan sudah masanya kuasa itu diturunkan kepada agensi di peringkat negeri.

“Kami tiada halangan melaksanakan proses ini, sekiranya kerajaan negeri dapat menguruskan kuasa autonomi diberikan dengan baik.

“Penurunan kuasa ini mampu memberi banyak kebaikan terutama dalam konteks meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan yang dirancang,” katanya ketika berucap di depan lebih 12,000 penyokong BN yang hadir di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat #sarawakuntuknajib di Stadium Perpaduan, di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan pemimpin parti komponen BN Sarawak.

Dalam perkembangan berasingan, Najib berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah menolak permohonan Kerajaan Sarawak untuk menaikkan kadar royalti hasil minyak dan gas negeri kepada 20 peratus berbanding hanya lima peratus ketika ini.

“Kami tidak pernah tolak, sebaliknya mahu semak kerana mahu menyediakan pakej atau tawaran lebih baik yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan mapan industri petroleum Sarawak,” katanya.

Najib turut mengumumkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo membabitkan peruntukan RM15 bilion yang mampu menandingi Lebuhraya Utara-Selatan di Semenanjung yang dikategorikan sebagai super highway.

Katanya, pembinaan lebuh raya itu yang disifatkannya sebagai antara projek kejuruteraan terhebat di Malaysia buah tangan terbesarnya kepada Sarawak sepanjang enam tahun beliau menjadi Perdana Menteri, sekali gus mengakhiri penantian lebih 50 tahun rakyat negeri untuk menikmati sistem perhubungan yang lebih moden dan efisyen.

“Rakyat Sarawak berhak mengecapi nikmat kemajuan sebagaimana rakyat negeri lain, khususnya di Semenanjung. Keputusan Sarawak untuk merdeka dalam Malaysia tepat kerana rahmatnya melimpah ruah.

“Kerajaan Pusat komited terus membawa kemajuan ke negeri ini, dengan nikmat pembangunan sosio-ekonominya turut dinikmati bersama rakyatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 9:38 AM