ADENAN bersama isteri, Puan Seri Jamilah Anu (dua dari kiri) pada satu majlis, baru-baru ini.
ADENAN bersama isteri, Puan Seri Jamilah Anu (dua dari kiri) pada satu majlis, baru-baru ini.
Mohd Aidil Abdullah


Kuching: Barisan Nasional (BN) mampu memenangi 71 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) ini.

Penganalisis politik Datuk Peter Minos berkata, keyakinan itu berdasarkan populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Menurut Peter, sebahagian besar rakyat Sarawak gembira dengan tindakan Adenan yang dilihat berkerja keras mempertahankan hak negeri berkenaan daripada Kerajaan Pusat seperti penurunan kuasa selain membawa pembangunan.

“Saya juga percaya penduduk luar bandar mahukan masa depan lebih cerah dan ia hanya akan dapat dicapai di bawah kepemimpinan Adenan.

“Saya turut melihat pembangkang di Sarawak tidak begitu popular,” katanya pada sidang media khas, di sini, semalam.

Peter berkata, populariti Adenan melonjak mendadak sejak beliau mentadbir negeri ini dua tahun lalu terutama pencapaian beliau melalui 53 inisiatif pembangunan dan penurunan kuasa bersama Kerajaan Pusat.

“Tidak semua 53 inisiatif itu, suatu yang besar. Namun, ia diakui membawa banyak perubahan kepada landskap politik di Sarawak.

“Dalam tempoh dua tahun, Adenan membuat banyak perkara. Pemerhatian saya sepanjang menjelajah seluruh Sarawak bulan lalu, dari Lawas hingga Sematan, saya dapati populariti Adenan cukup menakjubkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai 82 kerusi dipertandingkan kali ini, Peter berkata, 16 kerusi DUN majoriti pengundi Tionghua terutama di bandar mungkin sukar ditawan namun ada DUN yang masih boleh ditawan BN negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:42 AM