ADENAN (tiga dari kiri)  bergambar bersama Yong  (empat dari kanan) pada Majlis Perasmian buku Anak Kampung di Hotel Hilton Kuching.
ADENAN (tiga dari kiri) bergambar bersama Yong (empat dari kanan) pada Majlis Perasmian buku Anak Kampung di Hotel Hilton Kuching.

Kuching: Isu penurunan kuasa membabitkan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri memerlukan perbincangan serta penelitian menyeluruh bagi memastikan kata sepakat dicapai kedua-dua pihak.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata, secara prinsipnya Kerajaan Pusat sudah bersetuju berhubung penurunan sebahagian kuasa membabitkan beberapa perkara kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, proses itu tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa singkat dan kemungkinan hanya dapat dimuktamadkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ia mengambil masa lama kerana sesetengah bidang kuasa itu memerlukan penelitian mendalam termasuk mengambil kira faktor kewangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Bagaimanapun, beberapa perkara sudah dipersetujui setakat ini, termasuk isu lesen perikanan laut dalam di perairan negeri ini serta penempatan 90 peratus di Sarawak adalah anak tempatan,” katanya selepas melancarkan autobiografi Datuk Lily Yong Lee Lee bertajuk ‘Anak Kampung’, semalam.

Adenan berkata, Kerajaan Pusat juga bersetuju mengambil kira pandangan Sarawak dalam setiap polisi digubal membabitkan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, saya mengingatkan supaya pihak pembangkang di Sarawak tidak menjejaskan usaha kerajaan negeri berhubung isu penurunan kuasa daripada Kerajaan Pusat.

“Pihak pembangkang tidak perlu mempersoalkan keputusan yang sudah dicapai kerajaan negeri, sebaliknya menyokong demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya.

Adenan dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya bagi membincangkan isu berkenaan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:18 AM