NAJIB menerima dokumen daripada Adenan dalam pertemuan di Perdana Putra, semalam.
NAJIB menerima dokumen daripada Adenan dalam pertemuan di Perdana Putra, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di Pejabat Perdana Menteri di sini, semalam mengambil maklum beberapa perkara tadbir urus yang memerlukan perbincangan teknikal lebih lanjut antara kedua-dua belah pihak.

Dalam kenyataan bersama oleh Najib dan Adenan yang dikeluarkan di sini semalam, perbincangan itu berkenaan penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Menurutnya, ia bagi memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri Sarawak dalam mendukung semangat Malaysia sebagai sebuah persekutuan dan Sarawak sebagai negeri aman dan makmur di dalam Malaysia.

“Pada masa sama, memorandum mengenai pendirian kerajaan negeri juga disampaikan kepada Perdana Menteri.

“Adalah dipersetujui Peguam Negara mewakili kerajaan Persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak mewakili kerajaan negeri akan membincangkan perkara berkenaan dengan lebih lanjut dalam satu mesyuarat teknikal dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Hasil pertemuan semalam membuktikan jalinan erat dan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan sesebuah negeri dapat memacu tadbir urus efektif dan mengelola dasar yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan berkesan.

Terdahulu, Adenan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini kira-kira jam 9.30 pagi.

Kenderaan rasmi iaitu kereta jenis Mercedes warna hitam membawa beliau dilihat memasuki pintu masuk utama bangunan berkenaan jam 9.05 pagi.

Sekitar jam 10.45 pagi, kenderaan membawa beliau keluar dari pintu utama serta meninggalkan Bangunan Perdana Putra, Presint 1 di sini.

Kelmarin, media melaporkan pertemuan yang diadakan hari ini bagi membincangkan beberapa isu utama antaranya penurunan kuasa Persekutuan kepada kerajaan negeri, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC ) Laporan dan Cadangan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 9:35 AM