BONGKAH batu granit menjadi tarikan di taman rekreasi Spritzer Ecopark, Air Kuning, Pokok Assam.
BONGKAH batu granit menjadi tarikan di taman rekreasi Spritzer Ecopark, Air Kuning, Pokok Assam.

Taiping: Bongkah batu granit menyerupai bentuk pokok kaktus dianggarkan berusia 214 juta tahun menjadi tarikan utama taman rekreasi Spritzer Ecopark, Air Kuning, Pokok Assam, dekat sini.

Bongkah batu setinggi tiga meter dan lebarnya lebih tiga meter itu terbentuk secara semula jadi dan usianya yang juga sezaman Triassic, diperakui Jabatan Mineral Geosains (JMG).

Spritzer Ecopark yang terletak berhadapan kilang Spritzer Berhad di Air Kuning, merangkumi kawasan berbukit dan ditumbuhi pokok pelbagai spesies yang hidup subur.

Kawasan yang turut mempunyai anak sungai dengan air yang jernih itu di bawah pengurusan Spritzer membabitkan kawasan keseluruhan seluas 130 hektar.

Eksekutif Spritzer Ecopark, Zahera Hayat Mohd Alias berkata, pihak JMG membuat kajian dan penilaian terhadap batu digelar ‘Batu Kaktus’ itu tahun lalu dan memperakuinya.

“Spritzer Ecopark beruntung kerana Batu Kaktus itu berada dalam kawasan taman rekreasi ini yang baru diwujudkan Julai tahun lalu dengan kos RM1 juta bagi pembangunan fasa pertamanya,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah JMG negeri, Mohd Sidi Daud berkata, pihak Spritzer sebelum ini meminta bantuan jabatan itu untuk menilai batu granit berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan penelitian dan rekod batuan lampau yang disimpan, pihaknya mengesahkan anggaran usia batu granit berkenaan yang mencecah 214 juta tahun. Tambahnya, bentuk seperti kaktus terhasil akibat proses semula jadi tindak balas kimia atau luluhawa dan hakisan air.

“Usia batu granit ini atau dipanggil granit hijau ini sezaman Triassic iaitu tempoh antara 199 juta hingga 250 juta tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:58 AM