KUAH memahat batu marmar menggunakan pahat secara tradisional.
KUAH memahat batu marmar menggunakan pahat secara tradisional.
KUAH menyusun batu nisan yang sudah siap dipahat.
KUAH menyusun batu nisan yang sudah siap dipahat.
Oleh Siraj Mohd Zaini dan Ayusliza Azizan

Kuala Selangor: Pengusaha batu nisan bukan Islam di negara ini yang masih memberikan khidmat mereka kini boleh dikira dengan jari.

Tidak ramai generasi muda khususnya masyarakat Tionghua mahu meneruskan legasi bapa atau datuk mereka dan kemungkinan pembuat batu nisan bukan Islam yang memberi khidmat kepada masyarakat Islam akan pupus lama kelamaan.

Bagi Kuah Leong Chuan, 60, masih setia mengerah tulang empat keratnya selagi diperlukan, malah semuanya dilakukan sendiri bermula daripada peringkat memecahkan batu granit untuk dijadikan bongkah kecil sehinggalah kepada menulis tulisan jawi di permukaannya.

Menurut Kuah, pekan lama Kuala Selangor menjadi saksi kewujudan bengkel di bawah pokok yang diusahakan keluarganya sejak puluhan tahun lalu.

Katanya, hampir semua batu nisan yang dihasilkannya adalah untuk orang Islam manakala selebihnya dia menjual ‘kallarai’ atau batu kubur untuk masyarakat Hindu.

Menggunakan batu granit yang padat dan keras, dia menghasilkan batu nisan tanpa menggunakan sebarang acuan.

Sebaliknya, bongkah batu itu hanya dilakar menggunakan pensel sebelum dibentuk dengan pahat menggunakan mata yang dipanggil ‘berlian’.

“Ia bukan berlian yang dibuat barang kemas, ia hanya diperbuat daripada besi konkrit yang diasah tajam.

“Pemegangnya pula diperbuat daripada tembaga, apabila matanya tumpul, diasah kembali bagi membolehkannya memecahkan batu granit,” katanya ketika ditemui di sini.

Ditanya kenapa tidak menggunakan peralatan moden, Kuah berkata, dia lebih selesa menggunakan kaedah lama demi mengekalkan perniagaan yang diturunkan daripada nenek moyangnya.

“Daripada pecah batu, pahat, semuanya guna tenaga sendiri, mungkin tiada lagi mereka yang sanggup menggunakan kaedah seperti ini sekarang.

“Ada beberapa orang yang ingin belajar kaedah saya, tetapi tiada siapa bertahan kerana rata-ratanya semua angkat kaki,” katanya.

Kuah berkata, harga sepasang batu nisan dijual bergantung kepada saiz iaitu di antara RM160 dan RM400.

Katanya, dia belajar mengenai tulisan jawi daripada pelanggannya sejak puluhan tahun dulu.

“Bila mereka datang menempah, saya suruh mereka tulis sendiri dan saya hanya pahat, bermula daripada itu saya belajar setiap huruf jawi sehingga boleh menulis sendiri tanpa ragu-ragu,” katanya.

Kuah berkata, perniagaannya mungkin akan berakhir jika kudratnya tidak mengizinkan kerana tiada sesiapa lagi berminat menyambung usahanya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:11 AM