KHALID (kiri) menampal pelekat kereta ‘Daulat Tuanku’ sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di DBKL, Kuala Lumpur, hari ini sambil disaksikan Zulkifly (dua dari kanan) dan Mazlan (kanan). FOTO Syarafiq Abd Samad.
KHALID (kiri) menampal pelekat kereta ‘Daulat Tuanku’ sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di DBKL, Kuala Lumpur, hari ini sambil disaksikan Zulkifly (dua dari kanan) dan Mazlan (kanan). FOTO Syarafiq Abd Samad.
Nor Afzan Mohamad Yusof


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberikan diskaun sebanyak 70 peratus daripada jumlah kompaun tertunggak dikenakan ke atas kesalahan trafik DBKL berkuat kuasa selama sebulan, bermula 1 September lalu.

Menteri Wilayah, Khalid Samad, berkata kutipan sebenar pesalah trafik DBKL yang direkodkan sejak 2014 sehingga Ogos tahun ini mencecah RM924 juta sekiranya tidak diberikan diskaun.

“Kerajaan menyasarkan pulangan kutipan keseluruhan menerusi diskaun diberikan itu berjumlah RM100 juta berbanding kutipan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan 5,000 pelekat kereta ‘Daulat Tuanku’ sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pertubuhan Warisan Negara untuk diedarkan kepada warga kota di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengerusi Pertubuhan Warisan Negara, Datuk Zulkifly Ibrahim.

Pada perkembangan sama, Khalid berkata, DBKL turut menawarkan diskaun automatik ke atas kompaun kesalahan trafik DBKL berkuat kuasa 1 September lalu hingga ke satu jangkamasa tidak ditetapkan.

Khalid berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan pesalah trafik menjelaskan kompaun mereka dengan kadar segera selain mengelakkan tindakan senarai hitam.

“Kadar kompaun berkenaan membabitkan kesalahan tempat letak kereta yang termaktub di bawah perintah pengangkutan jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan 2016.

“Manakala kesalahan lalu lintas dan kesalahan halangan lalu lintas masing-masing tertakluk pada kesalahan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Diskaun berkenaan antara lain membabitkan bayaran RM15 bagi pembayaran dalam tempoh 24 jam, bayaran antara RM30 hingga bagi tempoh bayaran antara dua hingga 14 hari.

Manakala tempoh bayaran antara 15 hari hingga melebihi 30 hari akan dikenakan kadar kompaun antara RM50 hingga RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 4:37 PM