NOR Hisham
NOR Hisham
Syalikha Sazili

Kuala Lumpur: Pesalah trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang gagal menjelaskan kompaun sebelum tarikh akhir 30 September lalu mula disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tindakan itu akan diteruskan seperti yang diputuskan Menteri Wilayah Khalid Abd Samad, sebelum ini.

“Buat masa ini, tindakan itu akan diteruskan. Tawaran diskaun DBKL masih tidak mampu menggalakkan orang ramai membayar saman.

“Saya akan berbincang dengan beliau (Khalid) untuk mencari cara terbaik menyelesaikan isu tunggakan kompaun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Spesies Tumbuhan Herba dan Rempah-Ratus Taman Botani Perdana di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan hanya RM2 juta bayaran saman tertunggak pesalah trafik DBKL dikutip walaupun diskaun hingga 70 peratus ditawarkan selama sebulan bermula 1 September lalu.

Khalid dipetik sebagai berkata, jumlah itu amat mendukacitakan berikutan kerajaan menyasarkan pulangan kutipan keseluruhan RM100 juta menerusi pemberian diskaun berkenaan.

Menurut rekod DBKL, kira-kira empat juta saman kesalahan trafik dikeluarkan pihak itu hingga Ogos lalu membabitkan nilai hampir RM1 bilion.

Sementara itu, buku dilancarkan semalam menyenaraikan 106 spesies tumbuhan herba dan rempah-ratus.

Buku hasil kerjasama DBKL dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu boleh didapati di pejabat urusan Taman Botani Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 10:48 AM