NOTIS yang diletakkan di setiap kedai yang menyumbangkan barangan untuk menerapkan nilai murni dengan senyuman dan ucapan terima kasih.
NOTIS yang diletakkan di setiap kedai yang menyumbangkan barangan untuk menerapkan nilai murni dengan senyuman dan ucapan terima kasih.
Oleh Azma Razana Johari

Butterworth: ‘Minta dengan baik dan ucap terima kasih’. Itu syarat dikenakan kepada orang ramai dalam program ‘Free Market’ atau pasar percuma di Dewan Flat Bagan Dalam, di sini, kelmarin.

Dalam program itu, pelbagai barangan ‘disedekahkan’ seperti keperluan harian, pakaian, mainan kanak-kanak, pinggan mangkuk dan peralatan persekolahan.

Penduduk, Fatimah Shaari, 53, berkata, dia teruja dan berterima kasih kepada penganjur yang membuat program berkenaan di kawasan tempat tinggalnya.

“Semuanya percuma. Hanya perlu meminta dan berterima kasih saja.

“Kebanyakan penduduk kurang berkemampuan dan program ini sekali gus membantu mengurangkan beban kami,” katanya.

Penyumbang, Farhana Fayahet, 29, berkata, ini adalah pertama kali dia bersama suami, Mohd Saufi Jana Aksah, 28, menyertai program seumpama itu.

“Kami teruja dengan program ini kerana selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan, kami juga dapat mengeratkan silaturahim,” katanya yang menyumbangkan pakaian dan makanan.

Sementara itu, penganjur pasar percuma, Hairy Abdul Ghani berkata, tiada unsur perniagaan di dalam program itu.

“Kaedah macam pasar lambak, tetapi orang ramai tidak perlu membayar, hanya minta dengan baik barang yang diperlukan dan ucap terima kasih saja,” katanya.

Menurutnya, sambutan diterima sangat menggalakkan daripada kedua-dua pihak iaitu penyumbang dan penerima.

“Dalam masa tidak sampai dua jam, semua barang habis diambil penduduk setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:01 AM