ANTARA barangan yang disediakan di PAsar Percuma. FOTO Wan Nur Amirah Wan Mohd Redza
ANTARA barangan yang disediakan di PAsar Percuma. FOTO Wan Nur Amirah Wan Mohd Redza
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Penganjuran 'Free Market' atau Pasar Percuma yang semakin popular di daerah ini wajar diperluaskan ke banyak lokasi lain bagi memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, pasar percuma itu boleh dianjurkan sesiapa saja untuk membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, pasar percuma menyediakan pelbagai barangan diperlukan seperti pakaian, peralatan rumah dan makanan untuk diambil oleh pengunjung secara percuma mengikut keperluan mereka.

"Konsep pasar percuma boleh mengelakkan pembaziran kerana barangan masih elok boleh diberikan kepada orang lain yang memerlukan," katanya selepas merasmikan Pasar Percuma di Surau Kampung Blok C, Ampangan, di sini, hari ini.

Pasar percuma itu dianjurkan seorang penduduk kampung itu, Nur Aqilah Azali, 27, dengan kerjasama ahli jawatankuasa surau berkenaan.

"Ini kali kedua saya menganjurkan pasar percuma selepas mendapat sambutan menggalakkan pada penganjuran pertama yang diadakan 4 Oktober lalu. Ia mudah dianjurkan kerana kami hanya perlu mencari penyumbang, menyediakan tapak dan membuat hebahan kepada penduduk.

"Kesannya amat besar kepada golongan yang memerlukan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka," katanya yang berterima kasih kepada ahli jawatankuasa surau yang membantu menjayakan program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 5:01 PM