Kuala Lumpur: Hanya kerana berebutkan komputer, seorang pekerja kafe siber parah ditetak dua suspek lelaki di kafe siber di Taman Bukit Serdang, Serdang, Selangor, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam, mangsa lelaki berusia 34 tahun cedera di leher selepas ditetak menggunakan parang panjang.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, mangsa turut dibelasah menggunakan rotan selepas suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang menggunakan salah sebuah komputer di premis itu.

“Semuanya berpunca apabila suspek ingin menggunakan komputer yang digunakan mangsa sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian datang kembali sejam kemudian bersama rakan yang turut bersenjatakan parang panjang dan rotan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Razimi berkata, dua suspek terbabit bertindak menarik mangsa sebelum menetak dan memukulnya menggunakan rotan.

Susulan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan, katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan kemudian membawa polis kepada penahanan dua suspek dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan itu.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 7:54 AM