Jakarta: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tergamak membunuh rakannya hanya kerana berebut tupai.

Tribun News melaporkan insiden itu berlaku di Desa Tiga Batu Kecamatan Bunut Hulu di wilayah Kalimantan Barat.

Jurucakap polis tempatan berkata, pada kejadian 18 Jun lalu itu, kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit keluar dari rumah untuk berburu.

Katanya, mangsa membawa bersama parang, senapang dan bekas rotan.

"Sehingga jam 4 petang, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah. Susulan itu, ibu bapa dengan dibantu penduduk mencari kanak-kanak berkenaan.

"Keesokan harinya, mereka menemui sangkar burung di kawasan semak berhampiran pokok durian di tanah milik penduduk Desa Manga Dua.

"Tidak jauh daripada situ, mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di tengkuk, luka di leher dan bahu kiri," katanya,

Menurut polis, keluarga dan penduduk turut menemui sarung parang di sisi mangsa dengan tali pengikatnya terburai.

Siasatan mendapati budak lelaki itu dibunuh rakannya selepas mereka berebut hasil buruan iaitu tupai.

Suspek dan mangsa tinggal di kampung sama. Remaja itu ditahan untuk siasatan. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:00 AM