ISZUREE (tiga dari kiri) bersama  peguamnya, Mohd Haris  (kiri) ketika ditemuramah  di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.
ISZUREE (tiga dari kiri) bersama peguamnya, Mohd Haris (kiri) ketika ditemuramah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.

Georgetown: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menetapkan 30 Disember ini untuk keputusan semakan kehakiman yang difailkan Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim, bagi mencabar keputusan mesyuarat Exco kerajaan (MMK) negeri Pulau Pinang berhubung pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pembekuan peruntukannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah, menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas bertemu peguam Mohd Haris Abdullah yang mewakili Iszuree dan RSN Rayer yang mewakili MMK Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Dominic Pillai mewakili MBPP.

Mohd Haris ketika ditemui berkata, tarikh itu ditetapkan untuk membolehkan mahkamah meneliti semula semua hujahan kedua-dua pihak berhubung kes berkenaan.

Pada 14 November tahun lalu, Iszuree yang ketika itu adalah Bendahari Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan MMK Pulau Pinang sebagai responden pertama, MBPP sebagai responden kedua dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden ketiga.

Beliau memfailkan permohonan itu untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang memutuskan Iszuree dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.

Beliau juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang memutuskan bahawa beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat tergempar dan pembekuan peruntukan secara serta-merta.

Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah menerima kedua-dua permohonan itu, Iszuree juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 September dan 29 September 2014 sehingga usul substantif didengar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 8:02 AM