GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman dikemukakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer bagi mencabar tindakan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali memaklumkan kepada pemberita bahawa bantahan itu dibuat atas alasan permohonan itu adalah pramatang dan penyalahgunaan proses mahkamah.

"Kami berhujah bahawa jawatankuasa itu tidak membuat sebarang keputusan muktamad terhadap Hamid Sultan dan permohonan dibuatnya adalah pramatang kerana pemohon belum diputuskan melanggar Kod Etika," katanya.

Ahmad Hanir ditemui selepas pendengaran permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya dalam kamar hari ini.

Hadir sama, peguam Datuk Bastian Vandargon dan Datuk Joy Wilson Appukuttan.

Bastian pula berhujah bahawa JEC melangkaui kuasanya dan melanggar prinsip keadilan semula jadi apabila memutuskan untuk mengadakan siasatan terhadap Hamid Sultan.

"Kebenaran bagi semakan kehakiman masih boleh diberikan oleh mahkamah ini meskipun JEC belum mengeluarkan sebarang keputusan muktamad terhadap Hamid Sultan.

"Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 21 Januari tahun depan untuk keputusan mengenai permohonan bagi semakan kehakiman itu," katanya.

Appukuttan pula berhujah bahawa permohonan Hamid Sultan untuk menangguhkan sementara prosiding inkuiri JEC telah dilanjutkan sehingga permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu diputuskan.

Pada 20 Oktober lalu, Hamid Sultan memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman itu melalui Tetuan KH Lim & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta menamakan pengerusi JEC dan JEC masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau meminta perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden sebagaimana dinyatakan dalam surat responden pertama bertarikh 28 dan 29 September selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Persekutuan Perlembagaan.

Beliau turut memohon satu deklarasi bahawa pewujudan panel tujuh anggota jawatankuasa itu untuk mendengar dan memutuskan aduan dibuat terhadapnya adalah melanggar prosedur serta peraturan undang-undang.

Hakim itu memohon deklarasi bahawa responden pertama sebagai pengerusi jawatankuasa itu, tidak layak mendengar atau memutuskan aduan dibangkitkan dalam usul responden pertama bertarikh 10 Ogos.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah Pengerusi JEC ketika ini.

Dalam afidavit sokongan difailkan bersama semakan kehakiman, Hamid Sultan berkata, permohonan itu dibuat sebagai membantah keputusan JEC yang tidak membenarkan permintaan beliau agar prosiding terhadapnya didengar dalam satu forum terbuka.

Beliau berkata, permohonan itu difailkan berdasarkan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain membabitkan penghakimannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso dan satu lagi serta afidavit disahkannya bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya mendiang Karpal Singh.

Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup.

"Ini bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman terutama apabila saya menyatakan tidak mahu prosiding terhadap saya dijalankan secara tertutup, sebaliknya saya memilih untuk mengadakan pendengaran secara terbuka.

"Saya diletakkan dalam keadaan amat memalukan dan diperli bukan hanya oleh rakan hakim, tetapi oleh orang ramai," kata beliau dalam afidavit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:32 PM