Kuala Lumpur: Meskipun hanya perlu membayar RM124 sebulan atau bersamaan RM4 sehari untuk tinggal di dalam rumah di ibu kota, namun jumlah tunggakan bayaran sewa bagi penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini, mencecah RM46 juta pada penghujung tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, jumlah itu semakin berkurangan dari tahun ke tahun, namun pihaknya terus mempergiatkan usaha mengenal pasti penyewa ingkar dan tindakan sewajarnya yang perlu diambil.

Menurutnya, antara usaha DBKL untuk mencari punca permasalahan itu ialah dengan mengadakan bancian semua penghuni PPR untuk mengenal pasti mereka yang benar-benar hidup susah sehingga terpaksa dibantu agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

“Sejak tahun 2012, jumlah tunggakan sebanyak RM53 juta, tahun 2013 berkurangan kepada RM49 juta dan tahun lalu direkodkan sebanyak RM46 juta yang masih tertunggak, ia merupakan tunggakan sejak 5 hingga 6 tahun lalu, tidak termasuk tunggakan semasa yang perlu dibayar penyewa PPR.

“Bagi tunggakan semasa, DBKL boleh mengutip kira-kira RM73 juta setahun, yang membabitkan 86 buah PPR yang mempunyai 66,000 unit rumah, tetapi kita hanya dapat kutip separuh saja,” katanya pada sidang media di Menara 3 DBKL, di sini, semalam.

Sementara itu, Wan Mohammad berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah tunggakan sehingga 30 peratus iaitu sehingga RM30 juta pada tahun ini.

Katanya, bagi kes tunggakan semasa, DBKL memberi tempoh sehingga tiga bulan kepada penghuni PPR melunaskan sewa sebelum mengunci meter air dilakukan.

“Selalunya melalui cara ini, mereka akan tampil untuk membayar sebahagian tunggakan atau membayar penuh, tetapi ada juga kes di mana penghuni menghadapi masalah pembayaran dan DBKL sedia membantu dengan penjadualan semula tunggakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL bakal menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan pada Ahad 25 Januari ini di Dewan Netaji, Bangunan MIC Jalan Ipoh khusus kepada orang ramai di ibu kota.

Wan Mohammad berkata, sebanyak 18 agensi dan jabatan di bawah DBKL seperti Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perlesenan dan Pengurusan Penjaja, Jabatan Kewangan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta lain-lain jabatan akan membuka kaunter pada hari terbabit.

“Sebarang masalah atau isu seperti rayuan kompaun dan saman, pertanyaan permohonan lesen, rumah PPR, pendaftaran Pusat Rahmat dan E-Kasih serta banyak lagi boleh dikemukakan orang ramai pada program selama sehari itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:56 AM