IZATIL Aqmar bersama anaknya, Wan Nufail Rizqi.
IZATIL Aqmar bersama anaknya, Wan Nufail Rizqi.

Pasir Mas: Wanita yang menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan Mohd Harraz Danial Hanafie, 8 bulan, berniat baik dan mahu bayi itu merasai nikmat susu ibu walaupun bukan daripada ibu kandungnya.

Izatil Aqmar Mohd Zamzam, 27, yang juga seorang guru berkata, naluri keibuannya sedih selepas membaca kisah Mohd Harraz yang demam selepas berpisah dengan ibunya, Sharina Shafie, 24, dan tidak lagi mendapat susu ibu.

Katanya, tawaran menjadi ibu susuan bayi itu juga sudah difikirkan sedalam-dalamnya dan selepas mendapat keizinan daripada suami, Wan Mohd Naim Wan Mahmud, 27.

“Saya sedih apabila mendapat tahu dia demam selepas dipisahkan dengan ibunya disebabkan kesihatan wanita itu.

“Dan kini, arwah meninggal dunia selepas berjuang lebih seminggu ketika dalam rawatan. Saya faham penderitaan dihadapi mereka dan kasihan dengan Mohd Harraz.

“Atas sebab itu, saya tawarkan diri untuk menjadi ibu susuan bayi berkenaan kerana anak lelaki saya, Wan Nufail Rizqi, 8 bulan, juga masih menyusu badan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia turut dimaklumkan bayi itu sudah boleh menyesuaikan diri dengan susu formula sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 7:05 AM