Siti Rohana Idris

“FARAH Hanis sekarang mempunyai lima emak yang semuanya sangat menyayanginya,” kata Fairol Haziri Rahim, bapa kepada bayi perempuan yang dilahirkan oleh ibunya yang koma.

Digelar bayi ajaib, Farah Hanis kini berusia tiga bulan membesar dengan sihat kerana menerima susu badan oleh seorang ibu susuan sejak dua minggu lalu

Fairol, 44, berkata, susu badan yang diberikan oleh Dr Siti Nur Aqilah Mohd Khairul Adnan, 32, dianggap satu anugerah yang tidak ternilai untuk bayinya itu yang sememangnya memerlukan susu ibu.

Menurutnya, sudah dua bulan Farah Hanis minum susu formula dan tawaran daripada Dr Siti Nur Aqilah terus diterima walaupun sebelum itu sudah ada yang menawarkan susu badan kepada bayinya.

“Sebelum ini ada yang menawarkan (susu ibu) tapi meminta kami membawakan Farah Hanis kepadanya untuk disusui dan ia agak rumit kerana bayi ini belum boleh dibawa keluar secara kerap disebabkan bayi pramatang.

“Selepas menerima tawaran daripada Dr Siti Nur Aqilah baru-baru ini, bermula pertalian ibu dan anak (susuan) di antara mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, hari ini.

Fairol berkata, bayinya kini mempunyai tiga ibu susuan iaitu selain Dr Siti Nur Aqilah, dua lagi yang sempat menyusukan Farah Hanis ialah adik iparnya dan seorang lagiibu susuan yang diusahakan oleh pihak hospital ketika isterinya, Kamareeah Arwae, 36, menerima rawatan.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kamareeah yang koma ketika di awal kehamilan dan bayi dalam kandungan (Farah Hanis) terus membesar dengan normal sehingga dilahirkan melalui pembedahan.

Sejak dari kelahiran, bayi ajaib itu langsung tidak menerima setitik air susu ibunya dan kisahnya itu mendapat perhatian ramai yang menzahirkan rasa sayu malah ada yang berminat untuk mengambil Farah Hanis sebagai anak angkat.

Fairol berkata, sejak dilahirkan anak bongsunya itu dijaga sepenuhnya oleh isteri sepupunya, Raja Norazilah Raja Embong, 39, yang membahasakan diri sebagai ‘mama’ kepada bayi perempuan itu dan tinggal tidak jauh dari rumahnya.

“Sejak berusia satu hari lagi Farah Hanis sudah berada ‘di tangannya’ kerana saya terpaksa menguruskan isteri yang terlantar dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Setiap hari saya boleh menjenguk Farah Hanis dan adakalanya dia akan dibawa ke sini sambil ditunjukkan kepada isteri walaupun tidak mampu memegang dan membelai anak kami,” katanya.

Fairol berkata, walaupun doktor ada memberitahu bahawa peluang untuk isterinya pulih seperti biasa sangat tipis tetapi dia melihat ada perubahan yang ditunjukkan Kamareeah iaitu sudah mampu menggerakkan kaki.

Bukan itu sahaja Fairol berkata, ada ketika isterinya akan mengeluarkan bunyi seperti merintih dan mengalirkan air mata terutama jika diletakkan dua anak di sebelahnya seolah-olah memahami apa yang berlaku ke atas dirinya.

“Saya yakin suatu hari nanti isteri pasti akan pulih dan doa kami sentiasa mengiringinya kerana sangat berharap dapat melihat dia memegang dan memeluk Farah Hanis,” katanya.

Sementara itu, Raja Norazilah berkata, susu yang diberikan Dr Siti Nur Aqilah atau dipanggil ‘ibu’ itu akan diperoleh seminggu sekali dengan cara dipek siap untuk memudahkan proses menyimpan di dalam peti sejuk.

“Setiap hari Farah Hanis memerlukan sebanyak 24 auns susu itu yang diminum setiap tiga jam.

“Pada mulanya agak susah juga untuk menyedia dan mengendalikan susu ini, namun dengan tunjuk ajar dari Dr Siti Nur Aqilah, Alhamdulillah... semuanya dapat dibuat dengan lancar,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Ibu susu bayi ajaib
  • Dr Aqilah ibu susuan Farah Hanis
  • Harap ibu sedar dan susukan bayi kita
  • Ramai minta jaga bayi istimewa...
  • Farah Hanis bayi ajaib [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 6:06 PM
    RAJA Norazilah memberi susu kepada Farah Hanis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
    RAJA Norazilah memberi susu kepada Farah Hanis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar