Nazdy Harun


Kuala Berang: Sepasang suami isteri reda apabila tiga daripada lima anak dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Nurul Fazida Mokhtar, 45, dari Kampung Bukit Diman, di sini, berkata, dia dan suaminya tabah menjaga dan membesarkan anak-anak istimewa mereka itu.

Menurutnya, anak kedua dan ketiganya iaitu Muhammad Daniel Hakim, 13, dan Nur Fatin Qalisha, 12, disahkan mengalami masalah pembelajaran manakala anak keempatnya Muhammad Daniel Harraz, 9, pula menghidap Cerebral Palsy (CP).

"Daniel dan Fatin secara fizikalnya normal seperti orang lain, mereka juga boleh ke sekolah pendidikan khas namun sesetengah perkara, mereka tidak dapat uruskan sendiri serta perlu sentiasa dipantau kerana ada waktunya bertindak di luar jangkaan.

"Tumpuan banyak diberikan pada Muhammad Daniel Harraz, yang terlantar sejak lahir, walaupun dilahirkan normal seberat 2.69 kilogram namun ketika berusia tiga bulan baru saya nampak perbezaannya berbanding bayi-bayi lain.

"Beratnya kini kira-kira 10 kilogram dan hanya bergantung kepada susu serta makanan lembut seperti nasi bubur. Terlintas juga di fikiran saya siapa akan menjaganya nanti andai takdir Ilahi menjemput saya dahulu daripada anak syurga ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, pendapatan suami, Mohd Ridhwan Ibrahim, 45, yang hanya melakukan kerja kampung tidak menentu menyebabkan mereka sering dihimpit masalah kewangan.

Katanya, perbelanjaan keperluan untuk anaknya yang menghidap CP mencecah hingga RM800 sebulan terutamanya untuk membeli lampin pakai buang serta bergantung kepada susu khas.

"Syukur, bantuan bulanan RM500 diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedikit sebanyak meringankan beban.

"Selain itu, Daniel Harraz juga menerima elaun pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebanyak RM150 sebulan dan begitu juga dengan Daniel Hakim dan Fatin Qalisha, masing-masing turut menerima RM150 sebulan," katanya.

Menurutnya, dua lagi anaknya yang sulong Nur Fatin Shahira, 15, dan anak bongsu Nurul Shafika, 6, normal seperti insan lain.

Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 11500-41-00016087-9 atas nama bersama Nurul Fazida Mukhtar dan Muhammad Daniel Harraz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 4:37 PM
NURUL Fazida bersama anak bungsunya  yang menghidap penyakit Cerebral Palsy, dan Muhammad Daniel dan Nur Fatin disahkan mengalami masalah pembelajaran. FOTO Nazdy Harun
NURUL Fazida bersama anak bungsunya yang menghidap penyakit Cerebral Palsy, dan Muhammad Daniel dan Nur Fatin disahkan mengalami masalah pembelajaran. FOTO Nazdy Harun