SEBAHAGIAN susu ibu yang disimpan kepada mereka yang memerlukan oleh Muammar Fikri dan Shareen Suriani (gambar kecil) yang tular.
SEBAHAGIAN susu ibu yang disimpan kepada mereka yang memerlukan oleh Muammar Fikri dan Shareen Suriani (gambar kecil) yang tular.
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


BERKONGSI rezeki. Itu niat murni seorang wanita yang turut mendapat sokongan suaminya apabila dia mahu menyedekahkan susu badannya kepada mana-mana bayi memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.

Bagi Muammar Fikri Safri, 32, dan isterinya, Shareen Suriani Ismail, 31, tanggungjawab itu dilakukan bagi berkongsi kebaikan susu ibu, lebih-lebih lagi wanita terbabit ditakdirkan mempunyai lebihan susu badan selepas melahirkan anak kedua mereka, Muhammad Ibrahim Fikri yang kini berusia 15 hari.

Muammar yang menetap di Johor Bahru, Johor berkata, selepas melakukan perbincangan dengan Shareen, mereka sepakat untuk menyedekahkan susu itu buat bayi yang memerlukan.

“Alhamdulillah selepas isteri melahirkan Muhammad Ibrahim Fikri, susunya banyak menyebabkan terpaksa dipam dan disimpan dalam peti sejuk.

“Isteri yang tidak bekerja lebih selesa memberi susu secara semula jadi berbanding menggunakan botol kepada anak lelaki kami. Ia menyebabkan susu yang dipam terbiar begitu saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, selepas memikirkan pelbagai kemungkinan, mereka bersetuju untuk bersedekah dengan memberikan susu ibu kepada bayi yang lain dengan beberapa syarat.

“Kami faham ada yang meragui kemungkinan anak saya boleh berkahwin dengan anak susuan, antara syarat kami akan menyimpan salinan surat beranak bayi berkenaan bagi mengelak perkara berbangkit pada masa depan.

“Hukum agama dititikberatkan jadi pelbagai langkah diambil bagi mengelak masalah kahwin sesama adik-beradik susuan,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Jurutera teknologi maklumat di sebuah bank di Singapura itu berkata, buat masa ini bekalan susu di rumah mereka cukup untuk kegunaan dua hingga tiga bayi.

“Malah ia bertambah dari hari ke hari menyebabkan perlu melakukan sesuatu bagi mengelak pembaziran. Mungkin ada bayi di luar sana yang begitu memerlukan susu ibu dan boleh menghubungi saya di Facebook (FB) M Fikri Safri,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri juga boleh menghantar susu berkenaan kepada mereka yang tinggal di sekitar Johor Bahru dan lebih memilih bayi lelaki.

“Bagaimanapun, semua perkara boleh dibawa berbincang dan mereka yang memerlukan boleh menghubungi saya menerusi FB.

“Saya tidak kisah dengan kecaman orang ramai kerana niat saya dan isteri hanya mahu membantu bayi yang memerlukan khasiat susu ibu,” katanya.

Pandangan daripada segi agama

“SEMUA ibu susuan perlu mengenali keluarga anak susuannya bagi memelihara keturunan daripada berkahwin sesama mereka.”

Demikian nasihat Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kepada wanita yang memberikan susunya kepada bayi lain selain anak kandung sendiri.

Menurut Harussani, ihsan memberikan susu badan kepada anak orang lain itu tidak menjadi kesalahan dan hukumnya pula harus.

“Tiada masalah, tetapi hukum selepas anak itu minum susunya kena jelas dan ambil perhatian. Selepas lima kali susuan diberikan kepada bayi sampai kenyang, maka wanita itu sudah menjadi ibu susuan bayi itu.

“Secara automatiknya anak kandung wanita itu dan anak susuannya itu menjadi saudara susuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

MUFTI Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. FOTO ARKIB Saddam Yusoff
MUFTI Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. FOTO ARKIB Saddam Yusoff

Beliau berkata, apabila sudah menjadi saudara susuan mereka (adik-beradik susuan) termasuk dalam golongan haram berkahwin.

“Perkara itu kena tahu dan dipelihara kerana hubungan saudara susuan jatuh seperti adik-beradik kandung kerana susuan itu.

“Mereka tidak boleh berkahwin, tetapi semua perkara yang halal dalam keluarga kerana keturunan halal adalah halal bagi penyusuan.

“Jadi pentingnya hubungan kekeluargaan ibu susuan dan anak susuan dipelihara supaya tidak berlaku perkahwinan sesama anak susuan apabila mereka dewasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 11:37 PM