Oleh Zuliaty Zulkiffl


Alor Setar: “Tindakan pantas anak saudara menggunakan badannya bagi melindungi bayi saya daripada terkena siling yang jatuh menyelamatkan nyawa anak saya walaupun anak saudara cedera di bahunya,”

Begitu kata Noramira Abdul Hamid, 27, menceritakan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Padang, Jalan Kuala Kedah, dekat sini, dilanda ribut kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, bekalan elektrik di kediamannya turut terputus selepas beberapa zink bumbung diterbangkan angin.

Kejadian itu membabitkan bumbung empat rumah berhampiran yang diterbangkan ribut dalam kejadian tidak sampai 20 minit itu.

Noramira berkata, dia masih berpantang selepas melahirkan anak kedua dan berada dalam bilik bersama bayinya, Muhammad Danial Hadif Mohd Farhan, tujuh hari yang nyenyak tidur selepas menyusu, manakala ibunya, Fatimah Mahmud, 69, berehat di ruang tamu.

Katanya, anak sulungnya, Muhammad Danish Hakim, 7, ternampak siling bilik mereka patah dan hampir terjatuh lalu memberitahunya dan belum sempat berbuat apa-apa siling itu terjatuh mengenai tempat bayinya tidur.

“Mujur anak saudara, Fasha Zamzuri, 24, yang kebetulan berada di situ bertindak pantas menghalang siling jatuh di atas anak saya dan ketika itu, saya hanya mampu menjerit sebelum menyuruh anak sulung melarikan diri ke dapur.

“Nasib baik kecederaan yang dialami Fasha tidak serius kerana dia kini sedang hamil tujuh bulan dan anak saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya, semalam.

Noramira berkata, kejadian itu menyebabkan dia trauma dan menumpang sementara waktu di rumah kakaknya di Kuala Kedah.

Sementara itu Fatimah berkata, dia ternampak pusaran hitam angin kencang datang dari laut sebelum menerbangkan bumbung rumahnya dalam sekelip mata.

Katanya, ketika itu dia hanya melaungkan azan kerana bimbang melihat keadaan rumahnya ketika itu yang disertai hujan.

“Habis semua tilam dan pakaian basah terkena air hujan, tetapi saya bersyukur apabila semuanya selamat terutama cucu lelaki yang baru lahir ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:53 AM