Mustapa  dan Akmal Arief  (tengah) pada majlis pelepasan 70 sukarelawan NSTP, MPB dan IJN di Balai Berita NSTP, Bangsar, semalam
Mustapa dan Akmal Arief (tengah) pada majlis pelepasan 70 sukarelawan NSTP, MPB dan IJN di Balai Berita NSTP, Bangsar, semalam
Oleh Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Seramai 70 sukarelawan dari The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Media Prima Berhad (MPB) dan Institut Jantung Negara (IJN) berlepas ke Johor, semalam untuk menyertai program pemeriksaan penyakit jantung MPB-IJN Medical Outreach di Kempas dan Tampoi selama dua hari.

Koordinator Briged Sukarelawan MPB- NSTP Wan Abdillah Wan Nawi berkata, program itu bertujuan mendekati masyarakat bagi memberi kesedaran kepentingan pemeriksaan jantung pada peringkat awal.

“Briged Sukarelawan MPB-NSTP bergotong-royong membantu menyediakan tempat ujian saringan, memasak pada hari pertama dan membantu mengecat rumah penduduk pada hari kedua bagi slot Suara Komuniti Berita Harian,” katanya ketika ditemui sebelum majlis pelepasan peserta program pemeriksaan penyakit jantung MPB-IJN Medical Outreach, di Balai Berita NSTP, Bangsar, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi IJN Akmal Arief Mohamed Fauzi serta Presiden Adabi Consumer Sdn Bhd Adrian Roslan.

Wan Abdillah berkata, program berjalan dua hari di Dewan Jawatankuasa Penduduk Mukim-Mukim, Taman Bukit Kempas, esok dan di Masjid Jamek Ungku Muhamad, Tampoi pada Ahad.

“Orang ramai berpeluang membuat ujian saringan tekanan darah dan paras gula dalam badan yang mempunyai kaitan dengan penyakit jantung dan sekiranya mempunyai risiko untuk diserang sakit jantung, IJN merujuk mereka kepada hospital terdekat,” katanya.

Akmal Arief berkata, pihaknya sangat mementingkan aspek pencegahan dalam kalangan masyarakat mengenai penyakit jantung kerana ia membabitkan kos yang tinggi apabila merawat setiap pesakit.

“Kebanyakan penduduk enggan buat pemeriksaan awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 7:01 AM