SHARIMAN (tiga dari kiri) menerima 50,000 mi cawan daripada Chef Eksekutif Maggi Abdul Muluk Rambli (empat dari kiri) untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di pantai timur.
SHARIMAN (tiga dari kiri) menerima 50,000 mi cawan daripada Chef Eksekutif Maggi Abdul Muluk Rambli (empat dari kiri) untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di pantai timur.

Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib menimpa mangsa banjir, Nestle Malaysia Berhad (Nestle) bekerjasama dengan Media Prima Berhad (MPB) menyumbangkan 50,000 mi cawan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Sumbangan makanan ringan bernilai RM80,000 itu akan disalurkan kepada mangsa di pantai timur menerusi misi Briged Sukarelawan MPB-The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) esok.

Pengurus Perancangan Nestle Wan Zefri Wan Zahari berkata, bantuan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.

“Di samping itu, Nestle juga menempatkan kakitangan di pusat pemindahan sejak Rabu lalu untuk menyediakan makanan ringan ini terus kepada mangsa,” katanya selepas penyerahan makanan ringan itu di Balai Berita, Bangsar, di sini, semalam.

Bekalan Maggi itu diserahkan kepada Pengurus Besar Pejabat Pengerusi MPB Shariman Zainal Abidin.

Sementara itu, Shariman berkata, bekalan itu akan diagihkan bersama sumbangan daripada Tabung Bencana NSTP-MPB dengan menyasarkan 1,000 mangsa akan menerima bantuan terbabit.

“Pengagihan ini adalah yang kelima oleh Briged Sukarelawan MPB-NSTP kepada mangsa banjir sejak bencana alam itu melanda beberapa kawasan Semenanjung Malaysia.

“Sebelum ini misi bantuan sudah menyalurkan RM300,000 kepada mangsa banjir di Baling, Kedah; Penampang, Sabah; Kelebang, Terengganu; Banjo, Perak; Kuala Krai dan Jeli, Kelantan,” katanya.

Misi kelima bantuan banjir terbabit akan bergerak dari Sri Pentas, Bandar Utama menggunakan tiga lori dan empat pacuan empat roda yang disertai 15 sukarelawan daripada NSTP dan MPB.

Shariman berkata, sumbangan orang ramai menerusi Tabung Bencana NSTP-MPB begitu dialu-alukankan kerana 100 peratus bantuan digunakan sepenuhnya untuk membantu mereka memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:30 AM