KUARTERS Jabatan Perhutanan Lentang dikosongkan bagi kerja pembersihan akibat tanah runtuh dilakukan.
KUARTERS Jabatan Perhutanan Lentang dikosongkan bagi kerja pembersihan akibat tanah runtuh dilakukan.
Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Bentong: Kawasan tadahan air di Hutan Simpan Lentang, di sini, yang terjejas dalam kejadian banjir lumpur pada Rabu lalu perlu dibaiki semula bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, jika proses baik pulih kawasan berkenaan tidak disegerakan, ia akan mengundang risiko berulang kejadian banjir lumpur itu.

“Ia perlu dibaiki kerana kawasan berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat banjir lumpur yang berlaku dan proses membaik pulih kawasan itu perlu dilakukan dengan segera.

“Saya khuatir kejadian sama bakal berulang seterusnya mengancam nyawa penduduk sekitar dan juga pengguna lebuh raya (Kuala Lumpur-Karak) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, meninjau lokasi kejadian di Kilometer 52.4, di sini, semalam.

Ditanya mengenai cadangan penambahan kawasan tadahan air berhampiran laluan terjejas, beliau yang juga Menteri Pengangkutan menyerahkan keputusan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ia membabitkan aspek teknikal dan di luar bidang kuasanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan penghargaan kepada Sultan Ahmad Shah kerana berkenan meninjau kawasan kejadian dan mangsa banjir lumpur yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Masjid Lentang, di sini.

“Saya ingin menjunjung kasih terhadap keberangkatan Sultan Ahmad Shah ke lokasi terjejas selain meluangkan masa serta memberikan bantuan kepada mangsa.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada JKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), polis serta agensi yang lain kerana bertungkus-lumus membersihkan lokasi terjejas dan menjaga keadaan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:29 AM