Kesan  kejadian runtuhan tanah dan banjir lumpur pada 11 November tahun lalu.
Kesan kejadian runtuhan tanah dan banjir lumpur pada 11 November tahun lalu.
 Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad membina tembok batu bagi mengelakkan kejadian runtuhan tanah dan banjir lumpur  berulang.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad membina tembok batu bagi mengelakkan kejadian runtuhan tanah dan banjir lumpur berulang.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Bentong: Walaupun tarikh kejadian banjir lumpur di Kilometer (KM) 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Lentang, pada tanggal 11 November berlalu, pelbagai usaha digandakan bagi mengurangkan risiko bencana itu.

Tinjauan Harian Metro di lokasi berkenaan mendapati keadaan jalan dan infrastruktur di sekitar lebuh raya dibaiki sepenuhnya malah benteng penghadang batu diletak sebagai usaha menghalang air atau runtuhan tanah memasuki laluan.

Dalam kejadian jam 7 malam tahun lalu, laluan dekat Lentang dan Bukit Tinggi itu ditutup di kedua-dua arah berikutan banjir lumpur menyebabkan orang ramai perlu menggunakan laluan alternatif.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bentong Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memandang serius usaha mengurangkan risiko kejadian sama berulang dengan pelbagai tindakan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya terjamin.

“Selain meletak batu penghadang, kami juga menggunakan teknologi bagi mengesan pergerakan tanah selain PBT serta agensi bertanggungjawab saling bekerjasama mengawal selia sekitar lebuh raya yang berpotensi berlaku banjir lumpur.

“Malah, APM turut melakukan pemantauan di lokasi berkenaan dan mengambil serius terhadap aduan serta maklumat orang awam,” katanya di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, maklumat awal orang awam memudahkan tindakan segera ke arah pengurusan bencana dan latihan oleh APM serta agensi bertanggungjawab lain.

Mohd Zulkhairi berkata, pihak berwajib sentiasa peka dengan amaran Jabatan Meteorologi memandangkan bencana adalah perkara yang tidak boleh diramal.

“Kita tidak boleh menafikan kebarangkalian bencana banjir lumpur atau apa-apa bencana berulang. Walaupun melepasi tarikh bencana itu, namun agensi berkaitan dan PBT tidak boleh leka dan perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Oleh itu, kami sentiasa memantau maklumat daripada Jabatan Meteorologi bagi mengesan sebarang amaran dikeluarkan dari semasa ke semasa sebagai tindakan pencegahan awal pengurangan risiko bencana daripada menjadi lebih teruk lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:16 AM