Amir Abd Hamid

Bentong: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada lesen dikeluarkan di kawasan di Hutan Simpan Lentang.

Mengulas dakwaan beberapa pihak terdapatnya penerokaan, Ketua Pengarah JPSM Datuk Mohd Ridza Awang berkata, maksud penerokaan adalah terlalu umum.

Sedangkan, katanya, ada kawasan hutan yang diwartakan Hutan Simpan Kekal seperti Hutan Simpan Lentang, ada juga kawasan hutan yang berstatus tanah milik dan ada yang tanah kerajaan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod memang tidak ada pembalakan di Hutan Simpan Lentang iaitu kawasan yang terhampir dengan beberapa penempatan penduduk terjejas bencana banjir lumpur disertai timbunan kayu pada 18 Disember lalu.

"Hutan Simpan Lentang sudah diwartakan oleh kerajaan negeri Pahang dan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Pahang.

"Kawasan itu juga sudah diwartakan sebagai hutan tadahan air. Ia adalah kawasan hutan perlindungan, memang tak ada pembalakan di hutan simpan.

"Kayu kayan balak hanyut itu kena semak dari mana datangnya. Macam saya kata tadi, ada kawasan hutan yang di luar daripada hutan simpan kekal, mungkin tanah kerajaan dan tanah milik pun mungkin. Jadi kena buat semakan terperinci di mana sumber kayu (hanyut) berkenaan," katanya.

Menurutnya, ada pihak lain juga sudah membuat kenyataan seperti pakar geobencana Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komo yang berdasarkan lawatan ke lapangan serta pemantauan melalui dron mendapati runtuhan bukit besar dan kayu hanyut berkenaan adalah daripada faktor geologi semula jadi ketika hujan lebat.

Apapun, tegasnya, tiada lesen pembalakan dikeluarkan di semua hutan perlindungan termasuk Hutan Simpan Lentang.

"Kita juga sudah semak melalui imej satelit. Memang tiada perubahan hutan berdasarkan imej sebelum ini dan imej sekarang. Litupan hutan itu sama.

"Cuma Jabatan Perhutanan Pahang sedang membuat lagi semakan di lapangan kerana dibimbangi ada orang teroka.

"Jika didapati ada penerokaan, kita akan ambil tindakan. Setakat ini tidak jumpa lagi," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Bagaimanapun, menurutnya, di luar dari Hutan Simpan Lentang itu masih belum dapat dipastikan jika terdapat pembangunan tanah oleh pemilik tanah, contohnya durian atau pun getah yang ditebang untuk ditanam spesies lain.

Terdahulu, Jabatan Perhutanan Pahang menerusi kenyataan pada Rabu menjelaskan tinjauan dron mendapati tiada pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.

Kenyataan itu, memaklumkan semakan di kedua-dua tempat mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan itu yang dikaitkan dengan pembalakan menerusi media sosial, ialah sisa sampah-sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu.

CHAN (kiri) dan Thu melihat keadaan kayu balak yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Sungai Perdak, Karak. FOTO Aizuddin Saad
CHAN (kiri) dan Thu melihat keadaan kayu balak yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Sungai Perdak, Karak. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Ketua Balai Polis Telemong (OCS), Sarjan Mejar Ibrahim Md Nasir berkata, keadaan sejurus bencana, kiri dan kanan jalan dipenuhi kayu-kayan sehingga menyekat laluan utama dan menutup pemandangan rumah penduduk.

Namun, katanya, dengan kerjasama agensi kerajaan serta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang segera hadir membantu membolehkan laluan dibersihkan untuk membolehkan dilalui semula selain operasi pembersihan kawasan terjejas.

Bagi Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Telemong Karak, Bentong Pahang, Lai Wah Foong pula yang mengimbas kejadian, katanya, ia adalah pengalaman pertamanya berdepan bencana terburuk.

"Bukan sahaja banjir naik melebihi tujuh kaki (2.13 meter) tetapi lebih teruk disertai lumpur dan balak.

"Waktu kejadian, kira-kira 4 petang apabila air mula naik memasuki rumah di Kampung Sungai Perdak ini, kami mengarahkan penduduk segera meninggalkan kediaman masing-masing," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 12:00 PM