Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: “Australia mahu belajar daripada Malaysia kaedah memerangi jenayah keganasan militan berikutan mereka menghadapi masalah sama seperti negara ini,” ujar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Menurutnya, Australia menghadapi masalah kemasukan pendatang dari Timur Tengah sebagai penduduk sementara yang turut membawa ideologi militan Islam (IS) serta menyebabkan persepsi negatif Islamophobia terhadap masyarakat Islam.

“Kerana itu Australia mahu mengetahui pengalaman Malaysia dalam proses pemulihan kepada pesalah jenayah keganasan,” katanya ketika memberi ucaptama pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya bertajuk Bersatu Menentang Keganasan: Kerjasama Rentas Sempadan, semalam.

Beliau berkata, Malaysia dan Australia akan terus menjalin kerjasama erat dalam menangani isu membanteras keganasan antarabangsa dan militan.

“Kerjasama itu membabitkan hubungan yang luas melalui perkongsian maklumat, kepakaran khusus, kerjasama teknikal, operasi, latihan dan peralatan.

“Kerjasama rapat ini membuahkan hasil memberangsangkan dalam konteks keselamatan bukan sahaja antara kedua-dua negara malah turut membantu mengawal keselamatan serantau,” katanya.

Menurutnya, Australia berkongsi kemudahan dalam aspek kawalan sempadan seperti ‘Advanced Passenger Screening System’ (Sistem Pemeriksaan Penumpang Terkini) yang sudah lama dilaksanakan, sistem biometrik, e-gate dan cara pengesanan di pintu masuk negara melalui jalan darat dan laut.

“Australia juga bersedia memberi latihan bukan saja kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tetapi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan penguatkuasa lain,” katanya

Selain itu, Zahid berkata, kegiatan pengganas militan IS berpunca daripada salah tafsir berkaitan Islam.

“Kumpulan militan IS yang kononnya berjuang atas nama Islam sebenarnya silap tafsir mengenai agama Islam.

“Islam sebenarnya agama yang damai dan tidak menggalak kegiatan pengganas,” katanya.

Sementara itu, Menteri Imigresen dan Kawalan Keselamatan Sempadan Australia, Peter Dutton memuji Malaysia sebagai sebuah negara yang agresif dan sofistikated dalam memerangi kegiatan keganasan.

Dutton berkata, usaha memerangi keganasan adalah penting dan diberi keutamaan pihaknya bagi memastikan rakyat Australia selamat.

“Disebabkan itu, kami bekerjasama secara rapat dengan Malaysia dalam hal ini selain berkongsi maklumat.

“Musuh kami adalah pengganas bukannya Islam dan kami cintakan keamanan seperti Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 9:38 AM