Dua sahabat yang menikmati hidangan di restoran makanan laut di Jalan Changkat Jong, di sini, parah selepas dihujani sekurang-kurangnya 10 das tembakan dilepaskan dua suspek.

Dalam kejadian jam 7.30 petang kelmarin, seorang lagi pelanggan restoran dan seorang pelayan warga Myanmar turut cedera terkena tembakan itu.

Difahamkan tembakan menggunakan pistol itu dilepaskan dua lelaki memakai topi keledar tutup muka dan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, empat mangsa cedera dalam kejadian itu membabitkan dua pelanggan lelaki masing-masing berusia 39 dan 37 tahun yang menjadi sasaran utama suspek.

“Selain itu seorang lelaki berusia 52 tahun dan pelayan restoran warga Myanmar berusia 30 tahun turut cedera.

“Suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dua lelaki yang sedang makan. Hasil siasatan menemui 10 kelongsong peluru,” katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:12 AM