CHANDRA menunjukkan senjata dipercayai digunakan untuk menyerang anggota polis.
CHANDRA menunjukkan senjata dipercayai digunakan untuk menyerang anggota polis.
Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang juga ketua kumpulan Geng Saldi yang aktif melakukan samun, curi kenderaan dan pecah rumah di negeri ini diberkas selepas parah terkena dua das tembakan yang dilepaskan polis di Taman Bukit Setia, Sepanggar, dekat sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, suspek warga Filipina berusia 35 tahun dari Kampung Lukub, Sepanggar, ditembak selepas cuba menyerang anggota polis menggunakan parang dan pisau.

Suspek yang parah di bawah ketiak dan tulang rusuk kanan kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan dan kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima maklumat mengenai kes samun di Keningau kelmarin yang turut membabitkan suspek.

Beliau berkata, suspek terbabit dipercayai memandu Honda City sebelum menuju ke pusat bandar raya ini dan susulan itu, polis mempertingkatkan rondaan di sekitar laluan masuk ke Kota Kinabalu.

“Tiga anggota polis dari unit peronda cegah jenayah Balai Polis Menggatal yang menjalankan rondaan di kawasan perumahan Taman Bukit Setia kemudian terserempak kereta Honda City yang disyaki melakukan samun di Keningau.

“Anggota polis kemudian menghampiri kereta berkenaan di kawasan parkir taman perumahan itu. Di dalamnya, ada seorang lelaki di tempat pemandu sambil memegang telefon bimbit.

“Polis kemudian memperkenalkan diri dan mengetuk cermin kereta serta meminta suspek keluar.

“Selepas beberapa kali cermin diketuk, suspek enggan keluar menyebabkan polis memecahkan cermin kereta di sebelah pemandu.

“Ketika itu, suspek bertindak mengambil parang pemotong daging dan terus melibas ke arah anggota polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, bagi mempertahankan diri, seorang daripada tiga anggota polis kemudian melepaskan satu das tembakan dan mengenai suspek terbabit.

“Suspek kemudian mengambil satu lagi senjata tajam iaitu pisau dan cuba menikam anggota polis. Ia menyebabkan satu lagi das tembakan dilepaskan anggota polis.

“Suspek yang cedera kemudian cuba melarikan diri melalui pintu penumpang belakang sambil memegang pisau dan dua anggota yang berada di belakang kemudian memberkas suspek,” katanya.

Chandra berkata, suspek yang parah kemudian dibawa ke HQE untuk rawatan lanjut dan dua tembakan yang dilepaskan anggota polis mengenai bawah ketiak dan tulang rusuk kanan suspek.

“Kami percaya suspek terbabit 12 kes jenayah iaitu samun, curi kenderaan dan pecah rumah sejak Disember lalu termasuk kes terbaru, samun di Keningau.

“Daripada 12 kes ini, satu kes samun, curi kereta (2) dan pecah rumah (9).

“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta dipandu suspek adalah kereta curi ketika suspek melakukan pecah rumah pada 5 Januari lalu di Taman KKIP, Sepanggar.

“Sebelum ini juga, foto suspek yang parah akibat ditembak itu juga pernah viral di laman sosial dipercayai mencuri kasut di Taman Bukit Sepanggar.

“Susulan kejadian, polis merampas parang, pisau dan beberapa alat yang disyaki digunakan untuk aktiviti pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:28 AM