KENDERAAN pacuan empat roda melalui jalan bukit  yang curam dan berkabus dalam usaha mencari dan menyelamat.
KENDERAAN pacuan empat roda melalui jalan bukit yang curam dan berkabus dalam usaha mencari dan menyelamat.
RUMAH  seorang murid yang hilang.
RUMAH seorang murid yang hilang.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Gua Musang: Memang tidak logik akal tujuh murid Orang Asli boleh hilang begitu sahaja jika mahu pulang ke rumah masing-masing yang terletak antara 25 hingga 40 kilometer (km) dari Pos Tohoi, sini.

Saya katakan begitu kerana hanya terdapat satu laluan sahaja untuk keluar masuk ke rumah mereka iaitu di Pos Penad serta Pos Gawin dan laluan ini yang saya susuri kelmarin ketika mengikut pasukan keselamatan.

Ketika itu kami mahu menghantar bekalan makanan tambahan kepada pasukan tentera yang berada di dalam hutan sejak lebih seminggu lalu.

Turut serta dalam penghantaran itu adalah Pegawai Medan Ops TH7 Inspektor Harris Turung selain pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Batu 11 Tanah Merah, Batalion Pertama Rejimen Sempadan.

Kami bergerak hingga ke Pos Penad sejauh 25 km dari Pos Tohoi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan kiri kanan laluan adalah bukit dan cerun yang curam.

Melihat keadaan itu, boleh dikatakan mustahil untuk tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi terbabit hilang di hutan kerana struktur muka buminya yang tidak memungkinkan mereka bergerak jauh.

Saya cuba meletakkan diri saya dalam situasi Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaakob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7, ketika usaha mereka melarikan diri ke rumah.

Diakui dalam usia masih kecil begitu, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah mahu cepat sampai di rumah kerana takut bersendirian di dalam hutan tanpa orang dewasa.

Untuk tiba dengan cepat, sudah tentulah mengikut laluan paling mudah. Justeru, laluan pasir dan berbatu yang menjadi jalan utama penduduk kira-kira 10 kampung di hutan itu menjadi pilihan paling tepat.

Ini kerana mustahil untuk tiba dengan cepat jika mengikut kawasan hutan yang bercerun dan curam, apatah lagi risiko di hutan yang sukar dijangka.

Jalan utama itu paling mudah dilalui. Laluan itu juga digunakan lori untuk mengangkut balak keluar dan kontraktor yang menjalankan kerja pemasangan kabel.

Menurut Koperal Husni Hussin dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, tiada jejak atau kesan tapak kaki kanak-kanak ditemui ketika mereka melakukan tinjauan.

“Saya dan pasukan penyelamat kedua diminta masuk ke kawasan hutan, namun tidak menemui apa-apa petanda. Tiada juga kesan tapak kaki di laluan berkenaan ketika kami ke sana dua hari selepas mereka dilapor hilang.

“Ketika itu tidak terfikir kanak-kanak sekecil mereka akan teroka ke kawasan hutan kerana cerunnya sangat curam. Kami sendiri sukar hendak turun, jadi mustahil mereka ke sana,” katanya.

Tiba di Kampung Penad, saya menemui seorang penduduk, Agus Sinawang, 70-an, yang memberitahu sukar untuk kanak-kanak sekecil itu hilang jika mahu pulang ke rumah mereka.

“Jalan ini satu-satunya jalan menghubungkan kampung ke kampung. Ia dilalui semua orang yang ada tujuan hendak ke kampung. Jadi, mustahil mereka boleh hilang di hutan.

“Sebelum ini pun tidak pernah lagi kejadian orang hilang di sini. Jalan sudah ada, tidak perlu masuk hutan pun melainkan jika mahu cari makanan. Pelik juga macam mana mereka boleh hilang,” katanya yang juga bekas pejuang Senoi Praaq yang bersara pada 1955.

Agus berasal dari Kampung Jadir Baru, di sini, berkata, dia tidak menyalahkan guru yang mahu mengambil tindakan ke atas murid mandi sungai, sebaliknya menganggap ia langkah wajar untuk menyelamatkan nyawa murid daripada lemas.

Cuma, katanya, sudah menjadi tradisi murid Orang Asli yang cepat ‘tersentuh’ dan akan melarikan diri ke rumah apabila dimarahi.

Dalam pada itu, Awang Suhaimi, 29, kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ditugaskan untuk memasang kabel di hutan berkenaan berkata, dia mengetahui kehilangan tujuh murid terbabit menerusi akhbar.

“Kami biasanya akan ‘menetap’ di hutan selama beberapa bulan, tetapi hanya untuk kerja pemasangan kabel ini sahaja. Tidak langsung terlintas untuk mendekati Orang Asli apatah lagi hendak bawa anak mereka ke mana-mana.

“Mana-mana orang masuk hutan pun begitu. Kita hendak buat kerja saja dan siapkan segera. Namun, pada 23 Ogos lalu, saya nampak murid sekolah itu bermain di tepi sungai dekat Jambatan Tohoi berdekatan lokasi kami berkhemah, tetapi tidak pasti sama ada itu mereka atau bukan.

“Dua hari selepas itu, ada juga warga asing masuk ke kawasan ini dengan kenderaan pacuan empat roda untuk beli buluh,” katanya yang tidak pasti jika mereka mendekati kanak-kanak itu.

Hakikatnya sukar untuk pastikan sama ada murid berkenaan benar-benar masuk ke hutan atau tidak. Jika hilang di hutan, gerakan mencari dan menyelamat lambat-laun pasti menemui jejak mereka.

Tetapi jika dilarikan pihak tertentu yang keluar masuk mengikut jalan berkenaan, pencarian perlu diperluaskan dan pasti lebih menyukarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 5:57 AM