Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Polis Kelantan menemui beberapa cap jari dipercayai milik suspek kes samun menggunakan kereta mewah membabitkan kerugian ratusan ribu di kediaman di Jalan Hamzah di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan maklumat berkenaan identiti suspek melalui penemuan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup ( CCTV) turut mendapati nombor pendaftaran dua Toyota Vellfire yang digunakan suspek adalah palsu.

"Kita percaya seorang daripada suspek berbangsa Melayu adalah orang tempatan yang bertindak sebagai ‘pointer’ kepada tiga suspek yang datang ke negeri ini untuk melakukan kegiatan samun itu

"Kini kita sedang giat mengesan semua suspek berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang melarikan pelbagai barang berharga dianggarkan bernilai RM760,000.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, suspek turut mengikat pasangan suami isteri serta pembantu rumah menggunakan kabel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 1:41 PM