ANTARA karyawan yang terlibat dalam menjayakan ILM.
ANTARA karyawan yang terlibat dalam menjayakan ILM.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Teater bertema Islam yang turut menampilkan qari terkenal, Mishary Al-Afasy untuk memperdengarkan bacaan al-Quran antara program dipersembahkan kepada penonton pada penganjuran Festival Kesenian ILM (ILM Arts Festival) di Stadium Malawati, Shah Alam, dekat sini, hari ini.

Lebih menarik, persembahan teater dan bacaan ayat suci al-Quran turut bergabung pentas dengan penampilan artis grafiti terkenal dari United Kingdom (UK), Aerosol Ali.

Pengarah ILM Arts Festival Sajid Hussain berkata, penganjuran festival itu mencerminkan keindahan Islam kepada masyarakat daripada pelbagai aspek.

Malah, katanya, mereka yang dijemput menyampaikan persembahan atau bakat masing-masing pada festival berkenaan turut membabitkan penyertaan dalam kalangan bukan Islam.

“Kita sedia maklum seni juga boleh digunakan dalam menyampaikan sesuatu isu serta memberi maklum balas terhadap perkara yang memberi lambang negatif kepada masyarakat Islam.

“Justeru, penganjuran festival kesenian ini membolehkan pelbagai artis Islam dan bukan Islam dengan bakat serta kemahiran yang ada bergabung tanpa membezakan antara satu sama lain,” katanya, semalam.

Festival bermula jam 11 pagi hingga 10 malam ini turut disokong Harian Metro, Astro Oasis, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Tourism Malaysia, Visit Malaysia 2015, AirAsia dan iM4U.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:09 AM