Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Tiada seorang pun daripada 20 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini didakwa terbabit menggulingkan kerajaan didekati individu untuk menandatangani akuan bersumpah bagi mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengesahan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media, semalam.

“Tiada seorang pun yang menandatangani akuan bersumpah itu, justeru bersihkanlah nama mereka,” katanya.

Sebuah blog tempatan menyiarkan senarai 20 Ahli Parlimen BN kononnya diketuai Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa terbabit dengan komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pertemuan antara tokoh UMNO yang terbabit dalam gerakan menggulingkan kerajaan dengan Perdana Menteri yang sepatutnya berlangsung pada jam 6 petang Ahad lalu dibatalkan atas permintaan individu itu sendiri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:27 AM