M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Keputusan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dibuat kerana beliau dilihat pilihan tepat mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, ketua pembangkang itu diyakini mampu melonjakkan kembali ekonomi negara yang bergelut ketika ini.

Katanya, berikutan itu mana-mana ahli parlimen yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, atas tiket PKR dapat kembali menyokong PH dan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

"Setiap orang ada kesilapan dan setiap orang diberi peluang keinsafan untuk kembali kepada mandat rakyat.

"Jadi adalah wajar mereka yang mungkin terlanjur dalam langkah sehingga mengabaikan mandat rakyat, kembali bersama PH untuk kita bina kembali negara dan kita akan terima dengan hati terbuka," katanya ketika ditemui hari ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar ketika sidang media selepas menandatangani akuan bersumpah sokongan calon Perdana Menteri di Pesuruhjaya Sumpah Rashid, Kompleks Peruda. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar ketika sidang media selepas menandatangani akuan bersumpah sokongan calon Perdana Menteri di Pesuruhjaya Sumpah Rashid, Kompleks Peruda. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Terdahulu Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena hadir menandatangani dokumen Akuan Bersumpah (SD) bagi mencalonkan nama Perdana Menteri baharu di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid di sini.

Mengulas mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) dan UMNO mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu, Mahfuz berkata, ia menunjukkan parti itu ketandusan pemimpin berwibawa.

"Kita melihat UMNO mencalonkan seorang calon yang sangat dikesali seluruh rakyat Malaysia, calon daripada UMNO ini menunjukkan UMNO tidak mempunyai kepimpinan yang bebas daripada legasi lama.

"Saya percaya perkiraan UMNO mencalonkan Ismail Sabri adalah untuk kepentingan kluster mahkamah selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan bahawa tidak akan bertolak ansur dengan isu kleptokrat dan kelompok mahkamah," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mencalonkan Ismail Sabri selepas UMNO menolak kepimpinan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 2:30 PM