Gambar fail, Saarani. FOTO NSTP.
Gambar fail, Saarani. FOTO NSTP.
Zahratulhayat Mat Arif


Ipoh: Sejumlah 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar.

Sumber daripada Umno ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Umno memiliki 25 kerusi, diikuti DAP (16), Bersatu (5), Amanah (5), PKR (3), Pas (3), Gerakan (1) dan seorang Adun Bebas.

Difahamkan Umno Perak berjaya meyakinkan Adun Bersatu untuk menandatangani SD itu.

Semalam Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan sebarang kemungkinan gabungan baharu untuk membentuk kerajaan di Perak.

"Kami melihat kepada semua kemungkinan. (Namun) kami berhasrat mengekalkan kerajaan negeri sebelum ini (Perikatan Nasional), tetapi jika tidak boleh dilaksana, mungkin ada gabungan baharu," katanya seperti dilapor.

Pada Sabtu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) ketika persidangan Dun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 11:14 AM