GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
leh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah jumlah perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar mulai 14 Oktober ini.

Langkah itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pergerakan rentas negeri berkuat kuasa semalam.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, jualan tiket akan bermula pada hari ini mulai 3 petang untuk perjalanan sehingga Disember.

"Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua pada ketika ini. Laluannya meliputi sektor Gemas - Padang Besar, KL Sentral – Ipoh, Gemas – Butterworth dan sebaliknya.

"KTMB turut menawarkan diskaun RM5 untuk 10,000 penumpang terawal bagi pembelian tiket berharga RM40 ke atas dengan kod promo BOLEHRENTAS dan tawaran itu bermula dari 14 hingga 24 Oktober 2021.

"Empat perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor Gemas – Johor Bahru Sentral dan dua perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran di sektor Tumpat – Johor Bahru Sentral akan beroperasi setiap hari, setelah digantung sementara operasinya sejak pelaksanaan PKP 3.0," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zain berkata, Shuttle Timuran di sektor Kuala Lipis - Tumpat kekal beroperasi dengan 10 perkhidmatan.

Beliau berkata, secara keseluruhan, perkhidmatan KTM Antarabandar akan beroperasi dengan 16 servis.

Katanya, bagi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kakitangan barisan hadapan KTMB akan memastikan hanya mereka lengkap divaksin sahaja dibenarkan menaiki tren dengan menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi Covid-19 sebagai bukti.

"Penumpang perlu berada di stesen sekurang-kurangnya satu jam awal sebelum perjalanan bagi pemeriksaan dokumentasi dan pemeriksaan suhu badan.

"Pemantauan oleh anggota Polis Bantuan KTMB, khususnya, akan dibuat di semua stesen dan di dalam tren bagi memastikan para pengguna mematuhi SOP ditetapkan.

"Selain itu, KTMB ingin menasihatkan orang ramai untuk membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Ia lebih mudah, pantas dan efisien," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 2:43 PM