Saint Andre: Penemuan serpihan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) tidak mungkin menjejaskan bayaran insurans untuk keluarga penumpang dan syarikat penerbangan serta orang yang terbabit dalam nahas udara berkenaan.

The Wall Street Journal melaporkan, serpihan pertama yang disahkan milik MH370 itu tidak boleh menjadi petunjuk apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat itu.

Pakar mengatakan sekiranya bangkai utama ditemui terutamanya kotak hitam, jawapan kepada persoalan orang ramai bagaimana pesawat itu menyimpang jauh dan terjatuh di selatan Lautan Hindi pasti terjawab.

Seorang peguam dalam bidang maritim dan undang-undang penerbangan, Jeremy Joseph berkata, pihaknya percaya penemuan serpihan itu memberi kesan pada kedudukan tuntutan insurans melainkan penemuan selanjutnya dibuat.

“Setakat ini, perbincangan antara peguam daripada pihak keluarga dan peguam bagi syarikat insurans berdasarkan pada ketiadaan pesawat.

“Perbincangan mengenai pampasan akan jadi lebih rumit berikutan tiada bukti kukuh yang menyebabkan pesawat itu hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing,” katanya kepada Wall Street Journal.

Menurutnya, mengikut Konvensyen Montreal iaitu perjanjian penerbangan antarabangsa, syarikat penerbangan perlu membayar sehingga kira-kira USD175,000 (RM686,000) bagi setiap penumpang selepas kemalangan tidak kira sama ada syarikat penerbangan yang bersalah.

“Beberapa keluarga ada yang memilih untuk tidak mengambil pampasan itu lagi.

“Angka berkenaan dihadkan jika syarikat penerbangan dapat membuktikan ia tidak cuai atau ada pihak ketiga yang cuai.

“Walaupun pembayaran kepada saudara terdekat telah bermula, bayaran akhir belum ditentukan,” katanya.

MAS dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi e-mel kepada agensi itu berkata, MAS dan syarikat insurans tetap berpegang teguh bagi memastikan pampasan yang adil dan munasabah dibayar kepada keluarga semua penumpang MH370 mengikut undang-undang.

“Penemuan bangkai MH370 itu tidak memberi kesan kepada komitmen MAS untuk membayar pampasan yang sewajarnya sebaik saja perjanjian dicapai dengan mereka yang terbabit.

Setakat Disember 2014, syarikat anggota Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melunaskan bayaran tuntutan lebih RM16.9 juta kepada waris penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 Malaysia Airlines.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, LIAM berkata, syarikat insurans hayat di Malaysia sudah menjelaskan bayaran tuntutan terbabit kepada ahli keluarga mangsa dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:17 AM