Kuala Lumpur: “Deklarasi menyatakan pesawat MH370 sudah hilang cuma luahan pendapat peribadi (Hugh Dunleavy),” ulas syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Dalam kenyataan semalam, syarikat penerbangan itu menyifatkan sebarang tindakan sentiasa berpandukan nasihat pasukan teknikal yang bertanggungjawab bagi operasi pencarian.

“Jaminan yang diberikan kepada kita adalah operasi pencarian dan menyelamat MH370 akan diteruskan. Ia tidak akan dihentikan.

“Apa-apa maklumat mengenai MH370, operasi dan perkara berkaitan pesawat yang hilang hanya akan dimaklumkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC),” kata syarikat penerbangan itu.

Pengarah MAS Airlines, Hugh Dunleavy kelmarin, berkata, MAS sedang menunggu pengisytiharan secara rasmi kehilangan pesawat MH370 supaya pampasan boleh diuruskan bagi waris penumpang.

Syarikat penerbangan itu turut berkongsi kesedihan dan kesengsaraan anggota keluarga dalam menangani dan melalui situasi itu.

“Oleh itu kami memberi jaminan kepada mereka bahawa usaha menjejaki pesawat MH370 dan mendapatkan rakaman data penerbangan tetap menjadi keutamaan.”

“Setiap pihak yang terbabit dalam operasi yang kompleks ini menaruh keazaman yang sama seperti keluarga penumpang untuk mencari jawapan terhadap banyak persoalan,” katanya.

Berhubung pampasan disediakan selaras dengan Konvensyen Montreal atau rejim perundangan serupa, syarikat penerbangan itu sudah menjelaskan bahawa pembayaran ditentukan undang-undang untuk mengambil kira penumpang yang terbukti sahih dan keadaan keluarga.

MAS dan syarikat insurans tetap akan memastikan bahawa pampasan yang adil dan munasabah dibayar kepada keluarga semua penumpang MH370 selaras dengan undang-undang apabila anggota keluarga bersedia untuk membincangkan isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:12 AM