Kuala Lumpur: Penerbangan Malaysia (MAS) kini dalam proses menyediakan pembayaran pampasan penuh anggota keluarga terdekat, penumpang dan anak kapal MH370.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya, berikutan pengisytiharan kemalangan, syarikat penerbangan itu kini boleh membuat pembayaran pampasan penuh.

“Kami sedang melaksanakannya. Syarikat insurans bersama MAS akan menghubungi anggota keluarga bagi membincangkan pampasan tersebut,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, Kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa.

Sebaik saja perisytiharan itu, MAS memaklumkan kepada semua anggota keluarga terdekat mangsa mengenai pampasan berkenaan.

Mereka boleh menghubungi MAS apabila sudah bersedia meneruskan tuntutan pampasan atau jika mereka mempunyai sebarang pertanyaan.

“Bayaran ini bagi membolehkan keluarga yang terbabit menyambung semula kehidupan seperti biasa selepas kehilangan orang tersayang. Saya tahu ia masa yang sukar untuk semua orang. Kami akan membantu dengan cara yang sebaik mungkin, dengan apa yang munasabah dan kami akan buat yang terbaik,” kata Ahmad Jauhari.

Menyediakan sokongan kebajikan untuk anggota keluarga terdekat mangsa pesawat MH370 menjadi fokus utama MAS dan tindakan ini diambil sejak hari pertama, kehilangan pesawat itu.

“Kami percaya, kami menguruskan keadaan ini dengan sebaik mungkin.

“Dalam banyak keadaan, kami sebenarnya melampaui amalan terbaik industri antarabangsa,” katanya, sambil menambah bahawa sokongan kebajikan MAS akan terus disampaikan walaupun selepas ulang tahun MH370 di Kuala Lumpur dan Beijing.

MAS menyediakan kaunseling dan menubuhkan Pusat Bantuan Keluarga di sini dan Beijing bagi membolehkan syarikat itu berhubung rapat dengan 1,000 anggota keluarga terdekat serta untuk menyediakan maklumat kemas kini dua kali sehari melalui e-mel, panggilan telefon dan taklimat setiap hari semasa saat-saat kritikal kehilangan MH370.

Ia juga menaja semua perbelanjaan perjalanan dan penginapan untuk anggota keluarga di Beijing dan Kuala Lumpur, termasuk menyediakan pengawal keselamatan khas bagi melindungi keselamatan dan privasi anggota keluarga mangsa serta baucar makanan dan bantuan kewangan sebanyak AS$5,000 (RM20,000) untuk setiap keluarga. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:08 AM